Rabu, 2 Jun 2021 | 11:24am

Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Saham yang diniagakan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini dengan kaunter kewangan dan penjagaan kesihatan menjadi penyumbang besar, dirangsang oleh pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini untuk membantu melonjakkan sentimen pelabur.

Pada jam 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.53 mata atau 0.16 peratus kepada 1,588.43 daripada 1,585.90 pada penutupan petang Selasa.

Indeks utama dibuka 0.43 mata lebih rendah pada 1,585.47.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 236 berbalas 119 manakala 213 kaunter tidak berubah, 1,566 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 304.28 juta unit bernilai RM123.98 juta.

FBM KLCI melantun sedikit pada hari pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh kerana para pelabur menjangkakan proses vaksinasi dapat meningkatkan kehendak para pelabur terhadap saham bertemakan pemulihan, sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada saham berwajaran tinggi, demikian menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

"Sementara itu, peniaga mungkin berpaling kepada saham teknologi kerana kami percaya proses konsolidasi mungkin berakhir selepas stabil sejak dua minggu lepas. Bagi komoditi pula, harga minyak sawit mentah terus merosot tetapi sebaliknya harga minyak mentah pula melepasi paras AS$70," katanya dalam satu nota penyelidikan di sini.

Untuk fokus sektor pula, firma broker itu yakin dengan pengukuhan harga minyak yang kini melepasi paras AS$70, ia akan mendorong beberapa momentum pembelian positif di kaunter minyak dan gas.

"Dengan proses vaksinasi yang kini sedang berlangsung, kami menjangkakan peniaga akan mengambil peluang terhadap saham berkaitan vaksin, bertemakan pemulihan serta teknologi.

Dalam perkembangan lain, Eka Noodles Bhd, yang sahamnya telah digantung sejak 31 Mei, akan dinyahsenaraikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.22, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.22, PetChem tidak berubah pada RM8.05,sementara Petronas Gas turun lapan sen pada RM16.12.

Saham paling rugi termasuk MISC yang turun enam sen kepada RM6.84, Sedania Innovator merosot lima sen kepada 92 sen dan Tomei Consolidated pula susut empat sen kepada RM1.35.

Saham yang mencatatkan keuntungan besar termasuk Pharmaniaga yang menambah 15 sen kepada RM5.89, IHH meningkat 10 sen kepada RM5.49 dan Dufu Technology lebih tinggi sebanyak sembilan sen kepada RM4.45.

Bagi kaunter paling cergas pula, Tanco tidak berubah pada 14.5 sen, Serba Dinamik naik 2.5 sen kepada 86 sen dan Nova MSC meningkat satu sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 25.89 mata kepada 11,541.80 dan Indeks FBMT 100 menokok 20.23 mata kepada 11,238.35.

Indeks FBM Emas Syariah pula menambah 23.77 mata kepada 12,776.45, FBM 70 naik 35.86 mata kepada 14,835.83 sementara FBM ACE susut 0.61 mata kepada 7,716.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 48.56 mata kepada 15,133.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.51 mata menjadi 191.76, sementara Indeks Perladangan turun 15.44 mata kepada 6,816.49. - BERNAMA

Berita Harian X