Isnin, 24 Mei 2021 | 8:15pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan sokongan belian di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19.

Pada 6 petang, unit tempatan susut 50 mata asas kepada 4.1440/1480 berbanding dolar AS daripada 4.1390/1430 pada Jumaat minggu lalu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti yang membawa kepada sekatan kawalan pergerakan terbaharu dijangka memperlahankan pemulihan ekonomi negara.

"Justeru peniaga memerlukan sedikit keyakinan keluk akan melandai sebelum kembali membeli unit tempatan dengan lebih banyak," katanya.

Kes COVID-19 baharu di Malaysia terus melebihi 6,000 hari ini, dengan 6,509 jangkitan dicatatkan dan Selangor merekodkan angka tertinggi antara semua negeri iaitu sebanyak 2,049 kes baharu.

Sementara itu, unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1165/1207 berbanding 3.1099/1141 ketika ditutup pada Jumaat dan turun berbanding euro kepada 5.0602/0660 daripada 5.0595/0656.

Mata wang tempatan itu naik berbanding pound kepada 5.8575/8640 daripada 5.8832/8897 dan menokok berbanding yen kepada 3.8057/8097 berbanding 3.8074/8118 ketika ditutup pada Jumaat. -- Bernama

Berita Harian X