Selasa, 9 March 2021 | 11:23am
(Gambar fail) - Foto: NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
(Gambar fail) - Foto: NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Ringgit lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka pada Selasa berikutan sokongan pembelian lebih kukuh terhadap mata wang negara maju itu yang didorong kenaikan pulangan daripada bon AS, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1180/1230 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata pulangan daripada Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun kekal berdaya tahan, dengan peningkatan kira-kira 1.6 peratus, apabila negara itu mencatatkan kemajuan ke arah pakej bantuan COVID-19 dan pelan rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion.

Ringgit, yang turut bergantung pada pergerakan harga minyak mentah, juga dipengaruhi oleh laporan mengenai serangan dron ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi.

Berita itu melaporkan serangan terbabit, bagaimanapun, tidak mengakibatkan sebarang kerugian harta benda.

Harga minyak mentah Brent susut semula kepada paras AS$68 setong, turun kira-kira satu peratus selepas mencatatkan kenaikan awal sebanyak dua peratus pada Isnin.

Pada masa ini, minyak mentah Brent diniagakan pada AS$68.41 setong.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0479/0520 daripada 3.0434/0478 ketika ditutup pada Isnin, namun naik berbanding yen Jepun kepada 3.7752/7805 daripada 3.7810/7859.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.6882/6967 daripada 5.6772/6850 semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.8769/8833 daripada 4.8730/8802.

– Bernama

Berita Harian X