Isnin, 22 Februari 2021 | 7:30pm
(Gambar fail) - Foto: NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
(Gambar fail) - Foto: NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini pada paras terendah harian berikutan aktiviti pengambilan untung, susulan pelabur mengambil kira berita mengenai vaksin COVID-19.

Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada Ahad, dan ramai yakin berita itu akan meningkatkan sentimen pasaran tempatan.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 14.47 mata, atau 0.91 peratus, kepada 1,570.46 daripada 1,584.93 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Indeks utama dibuka tinggi 2.58 mata kepada 1,587.51, dan berada antara 1,570.46 dan 1,587.51 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 754 berbanding 476, manakala 459 kaunter tidak berubah, 507 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 13.30 bilion unit bernilai RM5.70 bilion, daripada 14.36 bilion unit bernilai RM6.36 bilion pada Jumaat lalu.

Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Imran Yassin Yusof, berkata indeks utama akur kepada aktiviti pengambilan untung berikutan kenaikan baru-baru ini, selepas pelabur mengambil kira berita mengenai vaksin.

"Berdasarkan prestasi kaunter farmaseutikal baru-baru ini, sebahagian pelabur telah memutuskan untuk mengambil untung," katanya kepada Bernama.

Imran berkata berita mengenai vaksin turut membawa kepada tekanan jualan di kaunter sarung tangan, kemungkinan disebabkan persepsi bahawa permintaan terhadap sarung tangan dijangka kembali normal susulan pelaksanaan vaksin.

"Ini telah membawa kepada aliran penurunan di FBM KLCI, berdasarkan wajaran sarung tangan dalam indeks," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi sarung tangan getah, Top Glove dan Supermax, masing-masing susut 27 sen kepada RM5.78 dan RM5.53, manakala Hartalega merosot 42 sen kepada RM11.64.

Sementara itu, Maybank berkurangan lapan sen kepada RM7.95 dan CIMB susut sembilan sen kepada RM4.16.

Daripada saham cergas, Key Alliance naik setengah sen kepada enam sen, Nexgram dan AT Systematization, masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 5.5 sen dan 15.5 sen, Velesto tidak berubah pada 17 sen manakala EA Holdings susut setengah sen kepada empat sen.

Kaunter paling rugi, MPI merosot RM1.16 kepada RM37.24 manakala kaunter paling untung, Heineken melonjak RM1.22 kepada RM24.72.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 94.02 mata kepada 11,547.59, Indeks FBMT 100 merosot 89.60 mata kepada 11,230.73 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 136.88 mata kepada 12,982.21.

FBM 70 susut 68.72 mata kepada 15,290.62 manakala FBM ACE naik 61.50 mata kepada 11,310.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 107.97 mata kepada 14,764.81, Indeks Perladangan berkurangan 57.47 mata kepada 7,131.58 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.55 mata kepada 180.72.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.19 bilion saham bernilai RM4.42 bilion daripada 9.1 bilion saham bernilai RM5.13 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 443.95 juta unit bernilai RM62.71 juta daripada 364.08 juta unit bernilai RM57.6 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 5.66 bilion saham bernilai RM1.21 bilion daripada 4.89 bilion saham bernilai RM1.16 bilion sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 808.64 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.71 bilion), pembinaan (409.74 juta), teknologi (1.88 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.93 juta), hartanah (432.22 juta), perladangan (47.65 juta), REIT (13.16 juta), dana tertutup (46,600), tenaga (1.25 bilion), penjagaan kesihatan (82.23 juta), telekomunikasi dan media (215.02 juta), pengangkutan dan logistik (172.83 juta) serta utiliti (82.12 juta). - BERNAMA

Berita Harian X