Jumaat, 22 Januari 2021 | 8:42pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi, berbeza dengan aliran serantau

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dapat mengekalkan kenaikan awal untuk mengakhiri dagangan hari ini pada prestasi tinggi, berbeza dengan aliran serantau, memandangkan minat risiko pelabur semakin baik, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran naik 1.94 mata kepada 1,596.74 daripada 1,594.80 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 1.26 mata lebih tinggi kepada 1,596.06 sebelum bergerak di antara 1,595.02 dengan 1,605.7 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 585 berbanding 535 manakala 455 kaunter tidak berubah, 547 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 6.63 bilion unit bernilai RM4.81 bilion daripada 6.71 bilion unit bernilai RM4.28 bilion pada Khamis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata FBM KLCI mengalami kenaikan sebanyak 0.12 peratus hari ini, sekali gus menjadi aliran berbeza berbanding bursa serantau seperti di Korea Selatan, Filipina, Jepun dan Hong Kong.

Beliau berkata semua pasaran itu mengalami penyusutan apabila mengambil petunjuk daripada laporan mengenai permohonan baharu bagi faedah pengangguran di Amerika Syarikat yang susut kepada 900,000 minggu lepas namun masih tinggi sehingga pelabur dengan pantas membeli saham sarung tangan getah dalam keadaan kes jangkitan COVID-19 melonjak.

"Minat belian di kaunter sarung tangan getah mendorong harga saham Top Glove, Supermax dan Hartalega, yang merupakan konstituen FBM KLCI, meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 3.0 peratus hari ini.

"Justeru, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia naik 1.8 peratus pada Jumaat, dan muncul sebagai indeks yang mencatatkan kenaikan terbesar dalam kalangan indeks sektor Bursa Malaysia," katanya.

Adam berkata bagaimanapun peningkatan FBM KLCI telah dihadkan oleh penurunan yang dicatatkan peserta telekomunikasi.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank menambah 10 sen kepada RM21.66, Top Glove meningkat 23 sen kepada RM6.25, PChem tidak berubah pada RM7.35, Maybank turun lima sen kepada RM8.00 dan Tenaga susut 10 sen kepada RM9.78.

Bagi saham aktif, QES dan Bioalpha masing-masing naik empat sen kepada 38 sen dan 30 sen, Dagang NeXchange menokok setengah sen kepada 26 sen, Dynaciate tidak berubah pada 12 sen sementara K-Star Sports turun 4.5 sen kepada 21 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 30.25 mata kepada 11,563.62, Indeks FBMT 100 meningkat 25.45 mata kepada 11,294.76, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 63.27 mata kepada 13,048.95.

FBM 70 meningkat 79.16 mata kepada 14,901.68 dan FBM ACE naik 33.55 mata kepada 10,758.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 1.13 mata kepada 14,885.66, Indeks Perladangan kurang 7.76 mata kepada 7,223.16, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menguncup 0.54 mata kepada 177.35.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.85 bilion saham bernilai RM3.77 bilion daripada 3.66 bilion saham bernilai RM3.25 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran sebanyak 442.62 juta unit bernilai RM70.95 juta berbanding 359.04 juta unit bernilai RM60.06 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula susut kepada 2.33 bilion saham bernilai RM967.76 juta daripada 2.69 bilion saham bernilai RM973.91 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 729.44 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.16 bilion), pembinaan (122.49 juta), teknologi (833.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (60.73 juta), hartanah (253.37 juta), perladangan (45.64 juta), REIT (8.51 juta) , dana tertutup (1,000), tenaga (258.08 juta), penjagaan kesihatan (139.06 juta), telekomunikasi dan media (115.9 juta), pengangkutan dan logistik (82.06 juta) serta utiliti (37.58 juta).

– BERNAMA

Berita Harian X