Khamis, 14 Januari 2021 | 7:58pm
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto BERNAMA
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto BERNAMA

Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah hari ini di tengah-tengah tekanan jualan terutamanya membabitkan saham tenaga, penjagaan kesihatan dan logistik.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.98 mata kepada 1,635.71 berbanding 1,636.69 sewaktu ditutup semalam.

Indeks penanda aras dibuka dengan menokok 1.31 mata kepada 1,638.0 serta berlegar dalam jajaran 1,632.20 hingga 1,646.24.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan tipis iaitu 584 berbanding 583, manakala 430 kaunter lain tidak berubah, 502 tidak berubah dan 24 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan merosot kepada 6.49 bilion unit bernilai RM4.87 bilion daripada 7.12 bilion unit bernilai RM5.11 bilion pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata peningkatan yang diraih saham sektor perbankan sebaliknya ditenggelamkan oleh kerugian dialami oleh pengeluar sarung tangan.

Menurutnya, kaunter Maybank, CIMB dan Public Bank serta Press Metal muncul saham paling untung dalam kalangan indeks FBM KLCI dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus.

Dalam pada itu, Top Glove, Supermax dan Hartalega susut sekurang-kurangnya 3.0 peratus berikutan laporan unjuran penurunan sektor sarung tangan getah oleh JP Morgan.

Menurut Adam, laporan JP Morgan itu mendakwa permintaan terhadap sarung tangan akan susut, sekali gus berbeza daripada jangkaan ramai bahawa keperluan ke atas sarung tangan pakai buang tidak akan merosot secara mendadak.

"Berikutan itu, Indeks Penjagaan Kesihatan di Bursa Malaysia menyaksikan penurunan sebanyak 1.3 peratus pada dagangan hari ini iaitu yang terbesar dalam kalangan indeks mengikut sektor," katanya kepada Bernama.

Di peringkat rantau merekodkan prestasi yang lebih bercampur-campur pada hari ini dengan harga minyak mentah kekal di wilayah negatif selepas peningkatan kes COVID-19 terus mencetuskan kebimbangan dan mempengaruhi permintaan.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi seperti Top Glove susut 26 sen kepada RM6.37, Hartalega berkurangan 70 sen kepada RM12.30 manakala Supermax rugi 47 sen kepada RM6.64.

Press Metal sebaliknya menokok 48 sen kepada RM8.76 dan PetChem naik lapan sen kepada RM7.50.

Maybank untung lima sen kepada RM8.35 manakala Public Bank meraih 30 sen kepada RM21.70.

Bagi saham aktif, PNE susut 13 sen kepada 50 sen manakala Techna-X meraih 15 sen kepada 16 sen dan Iris menokok tiga sen kepada 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.66 mata kepada 11,749.42, Indeks FBMT 100 turun 1.64 mata kepada 11,488.61 dan Indeks Syariah FBM Emas merosot 39.41 mata kepada 13,215.57.

Indeks FBM 70 menambah 18.42 mata kepada 14,839.50 manakala FBM ACE meraih 68.04 mata kepada 10.760.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 110.87 mata kepada 15,176.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 3.17 mata kepada 178.7, Indeks Perladangan susut 29.66 mata kepada 7,453.46 dan Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 44.43 mata kepada 3,619.15.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 4.10 bilion saham bernilai RM4.12 bilion daripada 4.76 bilion saham bernilai RM4.43 bilion yang dicatatkan semalam.

Jumlah waran berkurangan kepada 450.33 juta unit bernilai RM73.44 juta berbanding 500.21 juta unit bernilai RM81.51 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.94 bilion saham bernilai RM671.94 juta daripada 1.86 bilion saham bernilai RM592.77 juta sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 778.55 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak 1.54 bilion, pembinaan (154.60 juta), teknologi (457.24 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (97.41 juta), hartanah (175.54 juta), perladangan (78.71 juta), REIT (14.79 juta), dana ditutup (sifar), tenaga (374.46 juta), penjagaan kesihatan (126.74 juta), telekomunikasi dan media (125.37 juta), pengangkutan dan logistik (133.66 juta) serta utiliti (41.91 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X