Jumaat, 21 Ogos 2020 | 10:22am
Bursa Malaysia - Foto Bloomberg
Bursa Malaysia - Foto Bloomberg

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun untuk dibuka rendah hari ini, diseret turun oleh penjualan saham berwajaran tinggi utama dalam keadaan bursa-bursa serantau mencatatkan prestasi bercampur-campur, kata peniaga.

Pada pukul 9.09 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.92 mata kepada 1,573.46 daripada 1,575.38 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks barometer itu dibuka 0.59 mata lebih rendah pada 1,574.79.

Bagi keseluruhan pasaran, sebanyak 280 kaunter untung; 270 kaunter rugi; 291 kaunter tidak berubah, 1,172 kaunter tidak diniagakan manakala 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 543.36 juta saham bernilai RM401.47 juta.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam bagi cuti umum sempena sambutan awal Muharam.

Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar, berkata susulan aliran menurun yang dicatatkan pada Rabu, Bursa Malaysia kemungkinan mengalami prestasi tidak banyak berubah jangka pendek hari ini dengan FBMKLCI dijangkakan di antara 1,500 dengan 1,600.

"(Dagangan di Bursa) adalah dalam situasi ketidaktentuan politik tempatan, pelaporan kewangan korporat yang lemah, peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 dan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat (AS)-China," katanya kepada Bernama.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM7.52, Top Glove susut 24 sen kepada RM26.90, Tenaga kurang empat sen kepada RM10.96, sementara Hartalega dan Petronas Chemicals masing-masing menguncup 12 sen kepada RM17.08 dan RM6.08.

Bagaimanapun, Public Bank naik 10 sen kepada RM17.58.

Antara saham aktif, Solution naik 17.5 sen kepada 46.5 sen, XOX menokok setengah sen kepada 20 sen, Systech menambah tiga sen kepada 25.5 sen dan Fintec meningkat satu sen kepada 14 sen.

Genting Malaysia turun tujuh sen kepada RM2.23 dan Hubline turun setengah sen kepada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 14.89 mata kepada 11,283.35, Indeks FBMT 100 turun 14.6 mata kepada 11,098.07 dan FBM 70 kurang 23.31 mata kepada 14,517.7.

Indeks FBM Emas Syariah naik 1.62 mata kepada 13,281.98 dan FBM ACE menambah 18.37 mata kepada 10,299.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.87 mata kepada 13,079.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.6 mata kepada 141.28 namun Indeks Perladangan meningkat 78.57 mata kepada 7,099.11.

-BERNAMA

Berita Harian X