Khamis, 21 November 2019 | 2:18pm

FBM KLCI rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Penjualan saham wajaran tinggi di tengah-tengah sentimen pasaran global yang lemah, mendorong indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) susut 12.54 mata kepada 1,588.6 berbanding 1,601.14 pada penutupan Rabu, selepas bergerak antara 1,587.97 dan 1,601.36.

Indeks dibuka 0.22 mata lebih tinggi pada 1,601.36.

Indeks komposit sebahagian besarnya bergerak dalam jajaran negatif, terutama disebabkan oleh kerugian Public Bank dan Tenaga, dengan gabungan 4.152 mata.

Public Bank merosot 40 sen kepada RM19.52 manakala Tenaga turun 14 sen kepada RM13.52.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 471 kepada 274, manakala 343 kaunter tidak berubah, 930 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion saham bernilai RM939.41 juta.

Peniaga berkata, saham Asia merosot disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap rundingan perdagangan AS-China, dengan perjanjian 'fasa pertama' mungkin tertangguh sehingga tahun depan.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.65, Petronas Chemicals merosot empat sen kepada RM7.17, CIMB susut tiga sen kepada RM5.35, namun IHH menokok satu sen kepada RM5.45.

Bagi saham aktif, Alam Maritim menambah 1.5 sen kepada 14.5 sen, KNM turun setengah sen kepada 40.5 sen, Seacera susut 8.5 sen kepada 40.5 sen, manakala Fintec tidak berubah pada lapan sen.

Indeks FBM Emas merosot 71.7 mata pada 11,294.77, Indeks FBMT 100 turun 73.37 mata kepada 11,102.14, Indeks FBM Emas Shariah merosot 57.51 mata kepada 11,840.4, manakala FBM Ace turun 23.43 mata kepada 4,917.02 dan FBM 70 susut 34.95 mata kepada 14,144.6.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 119.23 mata kepada 15,522.82, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 0.49 mata kepada 151.71, namun Indeks Perladangan meningkat 18.53 mata kepada 7,101.62.

-- BERNAMA

Berita Harian X