Jumaat, 25 Oktober 2019 | 7:43pm

Bursa Malaysia ditutup rendah selepas pengambilan untung saham teknologi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan nada negatif selepas aktiviti pengambilan keuntungan membabitkan saham-saham teknologi, terutamanya selepas Vitrox, pembekal sistem pemeriksaan visual terbesar di negara ini mencatatkan pendapatan suku ketiga yang agak mengecewakan semalam.

Pada 5 petang, tanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 1.11 mata atau 0.07 peratus lebih rendah kepada 1,570.0 daripada 1,571.11 yang direkodkan pada hari Khamis.

Selepas dibuka 1.81 mata lebih baik pada 1,572.92, indeks utama bergerak antara 1,567.90 dan 1,573.15 sepanjang hari ini.

Kelebaran pasaran kekal negatif, dengan 429 kaunter rugi berbanding 322 untung, manakala 417 kaunter tidak berubah, 830 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 2.06 bilion saham bernilai RM1.39 bilion daripada 2.11 bilion saham bernilai RM1.68 bilion.

Ketua Penyelidik Inter-Pasific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew ketika mengulas mengenai jumlah dan nilai dagangan hari ini, berkata angka yang terbabit adalah agak nipis berbanding dengan jumlah purata sebanyak 2.3 bilion dengan nilai melebihi RM2 bilion, disebabkan peserta pasaran masih lagi menanti petunjuk baharu selepas kejatuhan Vitrox.

"Ramai pelabur sudah bersedia dan teruja mengenai potensi saham syarikat-syarikat teknologi baru-baru ini, tetapi kejatuhan Vitrox memberi amaran bahawa pertumbuhan pendapatan bukan sesuatu yang terjamin dalam saham-saham teknologi.

"Vitrox merupakan sebuah syarikat teknologi yang biasa, di mana pendapatan mereka adalah sangat tidak menentu dari suku ke suku dan keadaan ini menyebabkan para pelabur bertindak balas," katanya kepada Bernama.

Vitrox dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam menjelaskan keuntungan bersihnya susut kepada RM13.86 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2019 daripada RM28.02 juta yang direkodkan pada tahun sebelum ini, manakala bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih kumulatif menurun kepada RM 61.86 juta daripada RM 76.04 juta.

Menurut Pong, pengumuman Vitrox menyebabkan pelabur-pelabur saham teknologi menjadi kelam-kabut dan mereka menjual saham-saham mereka dalam Vitrox serta MPI, dua saham wajaran tinggi membabitkan teknologi dalam saham tempatan.

Pada penutup, Vitrox dan MPI, masing-masing menjadi kaunter paling rugi terbesar kedua dan ketiga dalam bursa tempatan selepas BAT.

Vitrox mencatatkan kerugian sebanyak 48 sen kepada RM7.59, MPI jatuh 30 sen kepada RM11.20 manakala BAT turun 58 sen kepada RM 8.80.

Secara keseluruhannya, menurut Pong lagi, indeks utama telah diheret oleh penjualan dalam saham-saham wajaran tinggi dengan Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing menurun sebanyak satu sen kepada RM8.45 danRM 7.44, manakala Tenaga berkurangan sebanyak dua sen kepada RM13.84.

"Bagaimanapun, kerugian telah diimbangi dengan keuntungan dalam penyedia perkhidmatan kewangan Islam seperti Syarikat Takaful dan BIMB, yang telah menarik perhatian para pelabur hari ini selepas mencatatkan pendapatan yang kukuh untuk suku ketiga 2019," katanya.

Syarikat Takaful dan BIMB menjadi kaunter yang paling menguntungkan di Bursa Malaysia, dengan Syarikat Takaful mencatatkan kenaikan sebanyak 18 sen kepada RM6.38 dan BIMB adalah 10 sen lebih kukuh kepada RM4.16.

Bagi saham aktif pula, Velesto meningkat dua sen kepada 36.5 sen, waran Green Packet menokok satu sen kepada 34 sen, KNM naik setengah sen kepada 46 sen.

Sementara itu, NetX merosot setengah sen kepada dua sen dan Vsolar tidak berubah pada 5.5 sen.

FBM 70 jatuh 87.29 mata kepada 13,976.20, Indeks FBMT 100 lemah 22.12 mata kepada 10,971.64 manakala FBM Ace menambah 12.99 mata kepada 4,871.11.

Indeks FBM Emas susut 23.29 mata kepada 11,160.45 dan Indeks FBM Emas Syariah merekodkan penurunan sebanyak 13.06 mata kepada 11,798.58.

Secara sektoral, Indeks Teknologi jatuh 0.78 mata kepada 37.18, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 23.71 mata kepada 15,146.35, Indeks Perkhidmatan dan Produk Industri berkurangan 0.15 mata kepada 153.09, manakala Indeks Perladangan meningkat 35.44 mata kepada 6,635.91.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.33 bilion saham bernilai RM1.24 bilion daripada 1.39 saham dengan nilai RM1.51 bilion pada hari Khamis.

Waran mencatatkan pertambahan jumlah dagangan kepada 305.11 juta unit bernilai RM62.93 juta berbanding 304.47 juta unit bernilai RM59.76 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 428.11 juta bernilai RM95.25 juta daripada 410.68 juta saham bernilai RM107.66 juta sebelum ini.

Perkhidmatan dan Produk Pengguna mewakili 194.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, Perkhidmatan dan Produk Industri (212.56 juta), Pembinaan (138.26 juta), Teknologi (165.39 juta), SPAC (sifar), Perkhidmatan Kewangan (37.62 juta), Hartanah (59.29 juta), Perladangan (17.30 juta), REIT (17.54 juta), Dana Tertutup (5,200), Tenaga (366.32 juta), Penjagaan Kesihatan (10.49 juta), Telekomunikasi dan Media (79.73 juta), Pengangkutan dan Logistik (18.06 juta) dan utiliti (13.33 juta).

Sementara itu, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Merge Energy Bhd berkata ia telah menukar namanya kepada Stella Holdings Bhd, dengan ringkasan sahamnya ditukar daripada MERGE kepada STELLA.

"Oleh itu, saham-saham syarikat akan didagangkan dan dinyatakan di bawah nama baharu, berkuatkuasa mulai 9 pagi, 30 Okt 2019," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X