Selasa, 9 April 2019 | 6:50pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah semalam, susulan jualan terpilih di kaunter telekomunikasi dan kewangan, di tengah-tengah minat belian yang lemah di kaunter wajaran tinggi.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.41 mata kepada 1.641.94, diketuai Maxis, Axiata, Public Bank dan Malaysia Airports Holdings.

Indeks dibuka 0.84 mata lebih tinggi pada 1,645.19.

Secara menyeluruh, indeks meningkat ke paras tertinggi 1,645.56 dan merosot serendah 1,639.50, di sepanjang sesi dagangan.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 430 berbanding 390, manakala 436 kaunter tidak berubah, 599 tidak diniagakan manakala 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.47 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 3.87 bilion unit bernilai RM2.40 bilion kelmarin.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata kurangnya minat belian dalam kalangan pelabur institusi menyumbang penurunan dalam FBM KLCI, walaupun penyertaan aktif pelabur runcit.

"Apa yang kita lihat ialah pasaran dua peringkat, dengan saham mewah yang lemah, pelabur institusi agak lengang dan corak indeks secara umumnya berada pada tahap lemah.

Ini, selepas minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi tahun ini setakat ini pada AS$71.10 setong, manakala ketegangan di Libya dijangka mengganggu keseluruhan bekalan global.

Teng Siew juga berkata pasaran didagangkan dalam kedudukan yang tidak banyak berubah sejak minggu lalu, dengan FBM KLCI mencatatkan angka lemah sejak Februari.

"Oleh itu, saya menjangkakan beberapa perubahan akan berlaku tidak lama lagi. Sekiranya FBM KLCI gagal meningkat, secara semula jadi ia akan menyusut," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata FBM KLCI berada pada kedudukan terlebih jual, yang menunjukkan pemulihan teknikal boleh berlaku pada satu ketika, dengan pelabur masih berhati-hati terhadap perkembangan luaran.

Beliau berkata berita mengenai cadangan tarif AS$11 bilion oleh AS terhadap Kesatuan Eropah berikutan hasil penemuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai subsidi Airbus, menunjukkan naratif perang perdagangan masih jelas.

"Ini berlaku walaupun perbincangan perdagangan AS-China dilihat semakin konstruktif.

"Pelabur global juga sedang menunggu musim pendapatan korporat AS, terutama keputusan suku tahunan daripada JP Morgan dan Wells Fargo, isu Brexit dengan Perdana Menteri UK Teresa May mahukan penangguhan tarikh akhir kepada 30 Jun," kata Mohd Afzanizam.

Antara saham wajaran tinggi, Maxis turun 10 sen kepada RM5.60, Axiata dan Public Bank masing-masing turun empat sen kepada RM4.19 dan RM22.58 manakala Malaysia Airports Holdings susut 14 sen kepada RM6.94.

Maybank meningkat dua sen kepada RM9.30, PetChem susut satu sen kepada RM9.10, namun Tenaga dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM12.60 dan RM5.09.

Antara kaunter cergas, Sapura Energy turun satu sen kepada 34 sen manakala Priceworth International dan Bumi Armada masing-masing kekal pada 7.5 sen dan 20 sen.

Indeks FBM Emas merosot 5.43 mata kepada 11,640.05, Indeks FBM Emas Syariah turun 15.77 mata kepada 11,861.00 dan FBMT 100 susut 7.50 mata kepada 11,470.53.

FBM 70 meningkat 28.29 kepada 14,595.52 dan Indeks FBM Ace menambah 8.13 mata kepada 4,781.23.

Indeks sektor produk dan perkhidmatan meningkat 0.24 mata kepada 170.33, Indeks Perladangan menambah 0.11 mata kepada 7,286.34, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.25 mata kepada 16,847.27.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 2.65 bilion saham bernilai RM2.20 bilion daripada 2.87 bilion saham bernilai RM2.17 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran turun kepada 467.8 juta unit bernilai RM99.5 juta berbanding 588.3 juta unit bernilai RM147.8 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 348 juta saham bernilai RM66.3 juta daripada 406.8 juta saham bernilai RM87.2 juta pada hari Isnin.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 300.4 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (399.9 juta), pembinaan (309.2 juta), teknologi (175.3 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.2 juta) 237.1 juta), perladangan (41.5 juta), REITs (9.7 juta), dana tertutup (32,300), tenaga (967.4 juta), penjagaan kesihatan (22.6 juta), telekomunikasi dan media (28.6 juta), dan utiliti (44.0 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X