X
Khamis, 4 April 2019 | 7:27pm
Saham-saham di Bursa Malaysia pulih pada penutupan hari ini. - Foto hiasan
Saham-saham di Bursa Malaysia pulih pada penutupan hari ini. - Foto hiasan

Bursa Malaysia naik 1.86 mata

KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia pulih pada penutupan hari ini berikutan dagangan yang lebih rendah sebelum ini, melantun hasil belian saham-saham wajaran tinggi dan saham murah.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.86 mata untuk ditutup Khamis pada 1,645.07 berbanding 1,643.21 semalam.

Indeks dibuka 0.8 mata lebih tinggi kepada 1,644.01 dan bergerak antara 1,637.57 dan 1,645.61 sepanjang hari.

Jumlah dagangan positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 437 berbanding 396, manakala 413 kaunter tidak berubah, 610 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion berbanding 2.67 bilion unit bernilai RM1.97 bilion semalam.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia berjaya ditutup dalam kedudukan positif selepas dagangan yang lebih rendah sebelum itu.

"Pada pembukaan, kami menyaksikan jualan konsisten saham tempatan, terutama saham berkaitan Genting, selepas mencatat harga saham yang lebih tinggi semalam.

"Pada 5 petang hari ini, Genting Malaysia turun tiga sen kepada RM3.25 manakala Genting Bhd susut 15 sen kepada RM6.80," kata peniaga itu.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa Genting Malaysia, yang terbabit dalam perniagaan perjudian dan riadah, membeli kapal layar mewah Equanimity membabitkan sejumlah AS$126 juta.

Ia langkah yang positif kerana dapat meningkatkan jenama dan jumlah perjudian VIP Genting, kata RHB Research dalam notanya hari ini.

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan ‘beli’ ke atas Genting Malaysia.

Jualan itu merupakan pemerolehan tebesar kerajaan daripada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan jumlah yang dicadangkan oleh Genting merupakan bidaan tertinggi sejak Equanimity dibuka untuk jualan pada Oktober 2018.

Sementara itu, antara kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.27, PetChem menokok dua sen kepada RM9.10, Tenaga menambah 10 sen kepada RM12.64, manakala Public Bank dua sen lebih rendah kepada RM22.98.

Antara saham aktif, KNM menambah 1.5 sen kepada 16.5 sen, Barakah dan Pegasus masing-masing menokok satu sen kepada 10.5 sen dan tiga sen, dan Bumi Armada kekal pada 19.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 31.42 mata kepada 11,616.46, Indeks FBM Emas Shariah menambah 51.33 mata kepada 11,793.63 dan FBMT 100 meningkat 28.46 mata kepada 11,455.15.

FBM 70 menambah 98.59 mata kepada 14,425.54 namun Indeks FBM Ace menyusut 7.81 mata kepada 4,826.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan meningkat 0.40 mata kepada 169.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.91 mata kepada 16,922.77 manakala Indeks Perladangan susut 10.62 mata kepada 7,207.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.4 bilion saham bernilai RM1.96 bilion daripada 1.89 bilion saham bernilai RM1.76 bilion yang dicatatkan semalam.

Waran susut kepada 452.56 juta unit bernilai RM104.45 juta berbanding 483.31 juta unit bernilai RM103.48 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 331.75 juta saham bernilai RM65.82 juta berbanding 299.42 juta saham bernilai RM73.25 juta pada Rabu .

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 270.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (310.79 juta), pembinaan (239.46 juta), teknologi (212.75 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (43.46 juta) 210.40 juta), perladangan (28.97 juta), REIT (7.54 juta), dana tertutup (16,300), tenaga (893.04 juta), penjagaan kesihatan (40.99 juta), telekomunikasi dan media (30.66 juta) ,

-BERNAMA

Berita Harian X