Isnin, 14 Januari 2019 | 2:17pm

PetChem heret turun FBM KLCI pada tengah hari

KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI mengakhiri sesi pagi lebih rendah, terjejas berikutan jualan di kaunter berkaitan indeks, diketuai Petronas Chemicals (PetChem).

Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras turun 7.28 mata kepada 1,675.94 berbanding 1,675.94 pada penutupan Jumaat.

Indeks bergerak antara 1,674.67 dan 1,684.19 sepanjang dagangan pagi, selepas dibuka 0.17 mata lebih rendah pada 1,683.05.

PetChem mengheret turun indeks komposit sebanyak 5.896 mata, selepas saham syarikat itu susut 42 sen kepada RM8.27 dengan 3.69 juta saham bertukar tangan.

Arah aliran menurun di Bursa adalah sejajar dengan prestasi bursa serantau dengan minat terhadap risiko terjejas oleh kebimbangan mengenai penutupan semasa kerajaan Amerika Syarikat (AS), prospek suram kenaikan kadar faedah AS, selain kebimbangan terhadap data perdagangan China.

Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.38 peratus kepada 26,299.18, Indeks Straits Times Singapura susut 0.43 peratus kepada 3,185.00 manakala Kospi Korea Selatan merosot 0.7 peratus kepada 2,061.02.

Nikkei 225 Jepun bagaimanapun meningkat 0.97 peratus kepada 20, 359.70.

Berdasarkan kedudukan Bursa Malaysia secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 419 berbanding 266, manakala 291 kaunter tidak berubah, 886 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.25 bilion saham bernilai RM552.59 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing merosot 10 sen kepada RM9.35 dan RM24.66, Tenaga susut dua sen kepada RM13.84, manakala CIMB menambah satu sen kepada RM5.66.

Bagi saham aktif, Perisai susut 2.5 sen kepada lima sen, Sapura Energy tidak berubah pada 31 sen, manakala Hubline naik setengah sen kepada 16.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 47.94 mata kepada 11,570.09, Indeks FBMT 100 turun 47.71 mata kepada 11,453.51, Indeks FBM Emas Shariah susut 61.97 mata kepada 11,505.49 manakala FBM 70 turun 47.96 mata kepada 13,543.42.

Indeks FBM Ace bagaimanapun meningkat 28.87 mata kepada 4,486.97.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 57.51 mata kepada 17,358.12, Indeks Perladangan susut 5.8 mata kepada 7,111.84 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 3.18 mata kepada 161.69.

-BERNAMA

Berita Harian X