Rabu, 2 Januari 2019 | 4:03pm

Pasaran sawit Malaysia di India dijangka meningkat semula

KUALA LUMPUR: Bahagian pasaran minyak sawit Malaysia di India berkemungkinan besar meningkat semula berikutan langkah New Delhi menurunkan duti import minyak sawit mentah (MSM) dan bertapis berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Duti ke atas MSM Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain ASEAN dikurangkan kepada 40 peratus daripada 44 peratus, manakala cukai terhadap minyak sawit bertapis diturunkan kepada 45 peratus berbanding 54 peratus.

"Selagi kerajaan India mengekalkan duti import minyak sayuran lainnya, ini akan membantu Malaysia meningkatkan eksport, mengurangkan jumlah stok serta menaikkan harga MSM," kata Maybank Kim Eng dalam satu nota penyelidikan hari ini.

India adalah pengimport minyak sawit terbesar dunia iaitu kira-kira 15.5 juta tan setahun dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh Malaysia dan Indonesia.

Menurut kumpulan pembrokeran pelaburan dan sekuriti yang berpejabat di Singapura itu, penurunan duti import itu juga sejajar langkah memenuhi komitmen perjanjian kerjasama ekonomi komprehensif Malaysia India yang dimeterai beberapa tahun lalu.

Maybank Kim Eng yang mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan serantau berkata pihak pengeksport dan pengusaha komoditi itu di Malaysia dijangka meraih lebih banyak manfaat berbanding Indonesia.

Malah, rangsangan yang tiba tepat pada masanya itu juga dilihat akan mendorong eksport berikutan lonjakan harga fizikal minyak sawit mentah daripada paras rendah RM1,717 satu tan pada 21 November 2018 kepada RM1,953 satu tan yang dicatat pada 28 Disember 2018.

"Tindakan India menurunkan duti import minyak sawit bertapis Malaysia pada kadar lebih tinggi (berbanding Indonesia) akan hanya merangsang daya saing eksport minyak sawit negara ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X