Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:35am

Saham KL dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan petunjuk baharu serta seiring dengan prestasi suram pasaran serantau lainnya.

Pada jam 9.16 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.63 mata kepada 1,773.12 daripada 1,775.75 yang dicatat pada Isnin, selepas dibuka 2.72 mata lebih rendah kepada 1,773.03.

Di papan skor, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 126 berbanding 125 dengan 201 kaunter lain tidak berubah, 1,422 tidak didagangkan manakala 23 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.55 juta unit bernilai RM88.27 juta.

Menurut Maybank Investment Bank, pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup bercampur-campur berikutan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah manakala di peringkat tempatan, tumpuan lebih ketara terhadap saham pembinaan yang berdepan tekanan.

“Secara teknikalnya, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan antara 1,760 dan 1,790 manakala paras rendah adalah pada 1,760 dan 1,740," katanya menerusi satu nota penyelidikan hari ini.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Genting Bhd menokok satu sen kepada RM7.82 manakala TNB, Petronas Chemicals dan Hong Leong Bank masing-masing kekal pada RM15.38, RM9.35 dan RM20.58.

Maybank pula rugi satu sen kepada RM9.64, Public Bank dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM24.96 dan RM6.02, IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM5.26 manakala IOI Corp turun tujuh sen kepada RM4.50.

Bagi saham aktif, Iris Corp untung setengah sen kepada 16.5 sen dan Reach Energy, MMC Corp serta Perdana Petroleum masing-masing naik dua sen kepada 44.5 sen, RM1.15 dan 28.5 sen manakala Gamuda susut lima sen kepada RM2.38 dan Borneo Minyak pula kehilangan setengah sen kepada 5.5 sen.

FBM 70 meningkat 25.61 mata kepada 14,298.41, Indeks FBM Ace turun 5.13 mata kepada 5,161.34 manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 13.60 mata kepada 12,358.74.

Indeks FBM Emas juga berkurangan 8.85 mata kepada 12,303.23 dan Indeks FBMT 100 pula menokok 8.72 mata lebih mudah pada 12,118.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.48 mata kepada 17,669.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.23 mata kepada 174.82 manakala Indeks Perladangan berkurangan 37.65 mata kepada 7,455.92.

-- BERNAMA

Berita Harian X