Selasa, 17 Julai 2018 | 1:50pm

Dagangan pagi Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi pada akhir sesi dagangan pagi, selari prestasi bursa serantau susulan pelabur mengambil kesempatan membeli saham berharga rendah selepas jualan di kaunter berkaitan pengguna semalam.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.17 mata kepada 1,727.84 berbanding 1,176.67 pada penutupan Isnin.

Indeks bergerak antara 1,726.67 dan 1,726.04 di sepanjang sesi pagi, selepas dibuka 0.37 mata lebih tinggi pada 1,727.04.

Heineken mencatatkan keuntungan terbesar, meningkat 48 sen kepada RM23.58 dengan 23,300 saham bertukar tangan.

Maybank IB Research dalam notanya berkata FBM KLCI mungkin terus meningkat ke paras sasaran rintangan kedua pada 1,760 dalam tempoh terdekat.

Trend jangka panjang bagaimanapun masih lemah memandangkan pergerakan dagangan masih di bawah garis purata 200 hari.

"Oleh itu, kami yakin pemulihan semasa adalah pada asas yang lemah, dan boleh menyebabkan tekanan jualan ketika indeks menghampiri rintangan seterusnya pada 1,760 hingga 1,780, manakala untuk peningkatan, sokongan dilihat pada paras 1,705 dan 1,658," katanya.

Bagi bursa serantau, Straits Times Singapura meningkat 14.66 peratus kepada 3,247.45, Indeks Hang Seng Hong Kong turun satu peratus kepada 28,254.85, manakala Indeks Komposit SSE China susut 1.01 peratus kepada 2,785.75.

Di Bursa Malaysia, kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 371 berbanding 348, manakala 381 kaunter tidak berubah, 808 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.31 bilion unit bernilai RM939.86 juta.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM9.57 dan RM23.02 manakala Tenaga menambah lapan sen kepada RM14.72, CIMB meningkat dua sen kepada RM5.68, namun Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM8.76 .

Bagi kaunter cergas, MyEG tidak berubah pada RM1.01, MRCB naik dua sen kepada 70.5 sen, manakala Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 59 sen, dan Vivocom turun setengah sen kepada enam sen.

Indeks FBM Emas merosot 5.54 mata kepada 12,140.67, Indeks FBMT100 susut 5.93 mata kepada 11,942.1, namun FBM70 meningkat 55.49 mata kepada 14,839.12.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 6.85 mata kepada 12,208.69 dan Indeks FBM Ace merosot 26.38 mata kepada 5,351.12.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 7.39 mata kepada 17,031.91, Indeks Perusahaan merosot 0.06 mata kepada 3,188.91 manakala Indeks Perladangan turun 45.06 mata kepada 7,474.3. - BERNAMA

Berita Harian X