X
Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:10pm

Bursa Malaysia rendah pada tengahari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi apabila pelabur mengurangkan pegangan menjelang hujung minggu ekoran kebimbangan berterusan terhadap perdagangan global yang tegang.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.84 mata lebih rendah kepada 1,677.81 berbanding 1,690.95 pada penutupan Khamis.

Indeks dibuka 3.87 mata lebih tinggi kepada 1,694.52 dan bergerak antara 1,675.35 dan 1,694.81 di sepanjang sesi.

Seorang peniaga berkata berdasarkan ketidaktentuan dasar perdagangan jangka panjang pentadbiran Presiden Donald Trump, selain potensi tindak balas dalam perang perdagangan oleh Amerika Syarikat dan China, pasaran saham kekal berhati-hati menjelang hujung minggu.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menambah lima sen kepada RM9.08 manakala Tenaga tidak berubah pada RM14.42

Public Bank susut 40 sen kepada RM22.50, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.44 manakala CIMB susut 12 sen kepada RM5.41.

Antara kaunter aktif, Barakah Offshore turun setengah sen kepada 14.5 sen dan Nova MSC rugi satu sen kepada 16 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 60.5 sen.

TDM dan Icon Offshore menokok satu sen kepada 25.5 sen dan 14 sen.

Indeks FBM Emas turun 80.97 mata kepada 11,889.92, FBM70 susut 72.03 mata kepada 14,636.18 dan Indeks FBMT100 turun 81.42 mata kepada 11,688.35.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 69.76 mata kepada 12,162.46 dan Indeks FBM Ace susut 43.53 mata kepada 5,217.42.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 111.74 mata kepada 16,487.76, Indeks Perusahaan turun 19.36 mata kepada 3,12.44 manakala Indeks Perladangan turun 82.73 mata kepada 7,419.93.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 446 berbanding 237, manakala 342 kaunter tidak berubah, 842 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.08 bilion unit bernilai RM706.53 juta.

- BERNAMA

Berita Harian X