Jumaat, 20 April 2018 | 3:51pm

Maybank IB unjur ringgit RM3.65 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Aliran mengukuh ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini dijangka berterusan ke paras RM3.65 sedolar AS menjelang akhir tahun ini, demikian kata Maybank IB Research.

Bahagian penyelidikan di bawah Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) itu mengunjurkan paras purata mata wang tempatan tahun ini adalah RM3.83 berbanding satu dolar AS.

"Pada suku pertama 2018, paras purata ringgit adalah sekitar RM3.92 berbanding satu dolar AS, lebih kukuh berbanding paras purata 2017 sekitar RM4.30," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Maybank IB Research juga menurunkan unjuran kadar inflasi bagi tahun ini kepada 2.3 peratus berbanding unjuran sebelum ini sekitar 2.8 peratus.

Ia berkata, semakan unjuran itu dibuat dengan mengambil kira jangkaan harga bahan api domestik akan kekal stabil pada bulan ini hingga bulan depan.

"Meskipun peningkatan 31.2 peratus dalam harga minyak global pada Mac 2018, harga RON95, RON97 dan diesel di bawah sistem pengapungan terurus masing-masing jatuh sebanyak 4.4 peratus, 5.2 peratus dan 1.2 peratus pada bulan.

"Pada suku pertama 2018, sementara harga Brent meningkat sebanyak 24.3 peratus, harga RON95 dan diesel naik hanya sebanyak 0.9 peratus dan 4.8 peratus manakala harga RON97 jatuh sebanyak 0.5 peratus," katanya.

Harga Brent berada pada paras AS$72.12 setong pada Rabu lalu, paras tertinggi sejak 1 Disember 2014.

Pada bulan lalu, Maybank IB Research membuat semakan semula terhadap unjuran purata harga minyak mentah bagi 2018 kepada AS$65 setong berbanding AS$60 setong sebelumnya.

Ia juga menjangkakan pengukuhan ringgit juga akan mengurangkan kesan inflasi import.

Berita Harian X