Selasa, 10 April 2018 | 5:43pm

Pelabur runcit terus rancakkan pasaran saham

KUALA LUMPUR: Penyertaan pelabur runcit tempatan di dalam pasaran saham dijangka meningkat menjelang separuh kedua tahun ini, selepas melalui tempoh yang tidak menentu ketika ini termasuk membabitkan situasi perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pilihanraya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Penyelidikan dan Ketua Penyelidikan Malaysia bagi RHB, Alexander Chia berkata, pasaran modal tempatan berada pada situasi tidak menentu pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini, namun penyertaan pelabur runcit masih baik dan mencatatkan permintaan menggalakkan.

"Apa paling menarik, penyertaan dalam kalangan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan sehingga 25 peratus pada Januari 2018 berbanding 22 peratus pada Disember 2017," katanya pada majlis penyampaian hadiah kempen 'Trade & Win 2.0' di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank Berhad (RHB Investment Bank) dan Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburannya, Robert Huray berkata jangkaan positif penyertaan pelabur runcit tempatan itu bergantung kepada tawaran awal permulaan (IPO) yang ada di pasaran pada tahun ini.

"Pada masa ini, nilai IPO berada pada lingkungan RM100 juta hingga RM200 juta dan kami menjangkakan lebih banyak IPO akan datang menjelang akhir tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, RHB Investment Bank berjaya menjana pendapatan kasar RM218 juta melalui lebih 11.5 juta penyertaan daripada penyertaan keseluruhan seramai 62,619 pelanggan bagi kempen 'Trade & Win 2.0' yang berlangsung pada 1 Mac 2017 hingga 28 Februari lalu.

Kempen itu menyaksikan Lee Joo Li dan Ee Han Sin diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, dengan masing-masing menerima sebuah Honda BR-V.

Huray berkata, kempen yang dianjurkan buat kali kedua itu adalah bertujuan memacu penyertaan pelanggan runcit dalam pasaran modal dan menggalakkan aktiviti pelaburan.

"Kami gembira dengan keputusan yang dicatatkan melalui kempen ini dan ia dianjurkan pada masa yang tepat dengan situasi pasaran modal yang baik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, kempen itu juga menyaksikan pelanggan RHB Investment Bank sedia ada kembali melakukan aktiviti pelaburan dengan lebih 38,000 akaun diaktifkan kembali dan menarik penyertaan kira-kira 25,000 hingga 30,000 pelanggan baharu.

"Kempen Trade & Win ini dilihat memacu peningkatan penyertaan runcit di Bursa Malaysia dibantu melalui peningkatan aktiviti pelaburan oleh pelabur baharu kami," katanya.

Sepanjang kempen itu, penyertaan runcit RHB Investment Bank menyumbang kepada peningkatan perolehan Bursa Malaysia kepada 4.8 peratus pada tahun lalu berbanding 4.2 peratus pada 2016.

Berita Harian X