Khamis, 5 April 2018 | 5:43pm

Bank di Malaysia kekal berdaya tahan

KUALA LUMPUR: Bank di Malaysia berdaya tahan terhadap kejutan dan risiko, selain mempunyai penampan modal serta pendapatan yang mencukupi bagi menyerap potensi kerugian, demikian menurut Moody's.

Agensi penarafan itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 minggu lalu, yang turut mengandungi hasil ujian tekanan kemampuan pembayaran bank di negara ini.

"Ujian tekanan itu menunjukkan bahawa bank Malaysia mempunyai daya tahan modal dan penampan pendapatan dalam tekanan makroekonomi serta kewangan, sekali gus kredit positif," katanya.

Moody's berkata data terkini BNM juga menunjukkan leveraj yang semakin menyederhana dalam kalangan isi rumah dan syarikat di Malaysia, dipacu khususnya oleh pengumpulan hutang yang bertambah perlahan.

Ia berkata, pertumbuhan hutang isi rumah di Malaysia susut kepada 4.9 peratus pada 2017 daripada 5.4 peratus pada 2016 dan kemuncak 14.2 peratus pada 2016, sekali gus kadar paling perlahan sejak tempoh itu, berikutam penurunan pinjaman pengguna berisiko lebih tinggi seperti pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan dan gadai janji hartanah bukan kediaman.

Berikutan itu, hutang isi rumah keseluruhan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut kepada 84 peratus pada akhir 2017 berbanding 88 peratus setahun sebelumnya.

"Pendedahan bank kepada isi rumah berisiko tertinggi seperti isi rumah berpendapatan rendah, jatuh kepada 17 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah keseluruhan tahun lalu berbanding 19 peratus setahun sebelumnya.

"Begitu juga, pertumbuhan dalam hutang korporat bukan kewangan susut kepada tiga peratus pada 2017 daripada sembilan peratus setahun sebelumnya, dengan jumlah hutang korporat mengikut KDNK susut kepada 103 peratus daripada 110 peratus dalam tempoh sama.

"Data terbaharu membayangkan risiko kualiti aset daripada isi rumah dan korporat terkawal dengan baik, satu kredit positif kepada bank," katanya.

Berita Harian X