Isnin, 19 March 2018 | 6:44pm

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan sokongan sederhana ke atas saham wajaran tinggi terpilih di kaunter kewangan dan perdagangan/perkhidmatan, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 1.55 mata lebih tinggi kepada 1,847.94 berbanding 1,846.39 pada penutupan Jumaat lalu.

Selepas dibuka 0.53 mata lebih tinggi pada 1,846.92 pagi ini, indeks bergerak antara 1,845.45 dan 1,850.16 di sepanjang hari.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 574 berbanding 332 manakala 402 kaunter tidak berubah, 584 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.94 bilion unit bernilai RM1.68 bilion berbanding 2.87 bilion unit bernilai RM4.2 bilion Jumaat lalu.

Peniaga berkata, minggu ini pasaran saham di seluruh dunia, termasuk Bursa Malaysia, akan memberi tumpuan ke atas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (Fed) yang bermula esok.

"Esok, seluruh tumpuan akan diberikan ke atas pengerusi Fed, Jerome Powell, yang mengambilal alih jawatan itu daripada Janet Yellen pada Februari, dan beliau dijangka memutuskan kedudukan ekonomi serta menyediakan pendekatan ke atas dasar baharu.

"Beliau juga dijangka memutuskan sama ada kadar faedah kekal pada 1.50 peratus atau 1.75 peratus, tambahan sebanyak 25 mata asas," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Public meningkat 10 sen kepada RM23.12, Tenaga menambah dua sen kepada RM15.70 dan CIMB menokok empat sen kepada RM7.26. Maybank tidak berubah pada RM10.32.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy menambah satu sen kepada 49 sen dan Brahims menokok 12 sen kepada 45 sen.

Netx kekal pada 3.5 sen. PUC susut satu sen kepada 19 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 3.16 mata kepada 13,036.80, Indeks FBMT 100 meningkat 5.52 mata kepada 12,787.59 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 19.82 mata kepada 13,200.35.

FBM 70 merosot 10.84 mata kepada 15,682.65 dan FBM Ace turun 7.16 mata kepada 5,917.85.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 32.03 mata kepada 3,238.70, Indeks Kewangan menambah 22.11 mata kepada 18,060.29 manakala Indeks Perladangan meningkat 10.25 mata kepada 7,966.75.

Jumlah dagangan di Pasaran utama merosot kepada 1.18 bilion unit bernilai RM1.56 bilion berbanding 2.04 bilion unit bernilai RM4.13 bilion Jumaat lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 463.92 juta saham bernilai RM75.55 juta berbanding 385.94 juta saham bernilai RM73.67 juta minggu lalu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 290.26 juta unit bernilai RM43.05 juta berbanding 438.63 juta unit bernilai RM49.56 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 73.82 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan pengguna (240.66 juta), pembinaan (86.77 juta), perdagangan dan perkhidmatan (593.45 juta), teknologi (28.49 juta), infrastruktur (3.89 juta), SPAC (10.79 juta), kewangan (38.56 juta), hotel (510,000), hartanah (75.82 juta), perladangan (15.55 juta), perlombongan (135,300), REIT (10.52 juta), dan dana tertutup (0). - BERNAMA

Berita Harian X