Khamis, 1 March 2018 | 6:58pm

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan indeks petunjuk utama tinggi berikutan minat belian berterusan terhadap saham-saham wajaran tinggi terpilih.

Seorang peniaga berkata dagangan hari ini juga seiring dengan prestasi bercampur-campur yang dicatatkan oleh pasaran serantau lainnya.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup dengan menokok 4.66 mata atau 0.25 peratus kepada 1,860.86 berbanding 1,856.20 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ia dibuka 3.64 mata lebih rendah kepada 1,852.56 dan bergerak dalam lingkungan antara 1,851.51 dan 1,862.81 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 648 berbanding 341 manakala 390 kaunter tidak berubah, 450 tidak didagangkan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan menokok kepada 3.39 bilion unit bernilai RM2.51 bilion berbanding 2.95 bilion unit bernilai RM3.64 bilion, semalam.

Menurut peniaga, minat belian terhadap saham-saham mewah dipacu oleh keputusan korporat yang diumumkan sebahagian besar syarikat baru-baru ini.

"Bagaimanapun, berikutan kaunter rugi mengatasi untung di Bursa Malaysia menunjukkan bahawa ramai pelabur yang memilih untuk berhati-hati susulan nada tegas Pengerusi baharu Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai dasar monetari.

"Kebimbangan ini juga sejajar dengan sentimen suram di peringkat global sebagaimana dipaparkan oleh kejatuhan semalaman di Wall Street," katanya.

Di peringkat serantau, pasaran Nikkei Jepun susut 343.77 mata atau 1.56 peratus kepada 21,724.47, Straits Times berkurangan 8.54 mata atau 0.24 peratus kepada 3,509.40 manakala Hang Seng Hong Kong menokok 199.53 mata atau 0.65 peratus kepada 31,044.25.

Saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Genting untung 27 sen kepada RM9.12, Sime Darby Plantation naik 15 sen kepada RM5.50, IHH meningkat sembilan sen kepada RM6.00, CIMB menambah lapan sen kepada RM7.27 manakala PPB menokok 36 sen kepada RM18.06.

Bagi saham aktif, HB Global naik 20 sen kepada 28 sen, Maxwell menokok setengah sen kepada 2.5 sen manakala Daya Materials susut tiga sen kepada empat sen dan Sumatec serta Sino Hua-An masing-masing merosot satu sen kepada tujuh sen dan 54 sen.

Panasonic mendahului senarai kaunter paling untung apabila naik RM1.18 kepada RM34.88 manakala saham paling rugi, Nestle yang susut RM5.00 kepada RM123.10.

Indeks FBM Emas meraih 19.00 mata kepada 13,237.25, Indeks FBMT 100 menambah 28.29 mata kepada 12,951.05, Indeks FBM Emas Shariah menokok 5.21 mata kepada 13,432.72 manakala FBM 70 naik 21.22 mata kepada 16,135.72.

FBM ACE bagaimanapun, merosot 42.69 mata kepada 6,164.15.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 92.49 mata kepada 8,083.96, Indeks Perusahaan naik 2.20 mata kepada 3,230.21 namun Indeks Kewangan susut 40.00 mata kepada 18,223.10.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2.34 bilion berbanding 2.02 bilion unit bernilai RM3.46 bilion pada Rabu.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya melebihi dua kali ganda iaitu 672.33 juta saham bernilai RM88.52 juta berbanding 334.03 juta saham bernilai RM59.39 juta.

Jumlah waran bagaimanapun susut kepada 494.96 juta unit bernilai RM77.90 juta berbanding 592.40 juta unit bernilai RM117.27 juta pada Rabu.

Barangan pengguna menyumbang 580.04 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala barangan perusahaan (424.65 juta), pembinaan (53.00 juta), perdagangan dan perkhidmatan (852.70 juta), teknologi (47.25 juta), infrastruktur (11.81 juta), SPAC (1.92 juta), kewangan (79.20 juta), perhotelan (999,200), hartanah (131.39 juta), perladangan (23.93 juta), perlombongan (1.09 juta), REIT (9.86 juta) dan dana tertutup (10,000). - BERNAMA

Berita Harian X