Isnin, 8 Januari 2018 | 5:02pm

Ringgit berpotensi terus mengukuh - UOB

KUALA LUMPUR: Selepas mengukuh di bawah RM4 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) Jumaat lalu, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh, menurut United Overseas Bank (UOB).

Malah, bank yang berpangkalan di Singapura itu percaya mata wang Malaysia itu masih berada di bawah nilai.

Ahli Ekonomi Kanan UOB, Julia Goh, berkata ringgit memulakan 2018 dalam kedudukan yang baik dengan mencecah paras di bawah RM4 sedolar buat pertama kali sejak Ogos 2016.

Beliau berkata, kedudukan ringgit ketika ini berbeza berdasarkan situasi semasa jika dibandingkan kedudukan mata wang tempatan itu sebelum ini yang berkedudukan lemah berikutan faktor luaran.

"Kami fikir kali ini berbeza bersandarkan kepada kedudukan ekonomi yang kukuh jika dibandingkan pada 2008 dan 2013. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar berkembang ke paras tinggi dalam tempoh tiga tahun sebanyak 6.2 peratus pada suku ketiga 2017, mendorong kami menaikkan tinjauan pertumbuhan 2017 kepada 5.8 peratus.

"Kadar faedah (global) yang lebih tinggi berikutan keadaan pertumbuhan yang kukuh menyediakan asas bagi Bank Negara Malaysia untuk normalisasi kadar faedah.

"Pemulihan harga minyak dijangka berterusan pada 2018 dipacu oleh pemulihan dalam permintaan global," katanya dalam nota penyelidikan makro hari ini.

Goh berkata, dengan tidak ada kejutan luar jangka dalam Pilihan Raya Umum ke-14, ia akan menyediakan kejelasan terhadap tinjauan ekonomi dan politik dalam tempoh sederhana.

Justeru itu, katanya, pihaknya menjangkakan aliran pelaburan akan meningkat pasca pilihan raya dan menyokong pengukuhan ringgit selanjutnya.

"Risiko utama bagi pandangan ini ialah kenaikan kadar faedah AS yang lebih pantas akan menyokong dolar AS untuk terus kukuh dan kelemahan baharu dalam minyak mentah.

"Bagaimanapun, sebarang kelemahan ringgit dijangka akan lebih beransur-ansur memandangkan pemilikan asing dalam bon dan saham Malaysia semasa yang masih rendah.

"Bank Negara mempunyai rizab asing yang besar untuk menyokong ringgit dan keadaan tukaran asing domestik yang stabil sejak peraturan tukaran asing baharu diperkenalkan pada Disember 2016," katanya.

INFO

  • Ringgit mencecah paras RM3.9980 sedolar pada Jumaat lalu, paras tertinggi dalam tempoh 17 bulan
  • Ia sekali gus menjadikannya mata wang Asia yang mencatatkan prestasi terbaik
  • Kali terakhir ringgit diniagakan di bawah paras RM4.00 ialah pada 18 Ogos 2016

Berita Harian X