Selasa, 31 Oktober 2017 | 7:50pm

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari kedua berturut-turut hari ini, disokong oleh sentimen belian positif terhadap unit tempatan, kata peniaga.

 

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.2315/2325 berbanding dolar AS daripada 4.2360/2390 pada Isnin.

 

Peniaga berkata, ringgit yang mengukuh itu seiring dengan kebanyakan mata wang serantau selepas sentimen bagi dolar AS berubah negatif susulan pendakwaan ke atas bekas pengurus kempen Presiden AS Donald Trump sebagai sebahagian siasatan terhadap kempen pilihan raya presiden itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Russia.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

 

Nota tempatan rendah berbanding dolar Singapura pada 3.1071/1096 daripada 3.1069/1101 semalam dan lemah berbanding yen kepada 3.7354/7373 daripada 3.7282/7312 pada Isnin.

 

Ringgit susut berbanding pound kepada 5.5856/5886 daripada 5.5750/5798 semalam bagaimanapun, meningkat berbanding euro kepada 4.9225/9241 daripada 4.9290/9342 pada Isnin. - BERNAMA

Berita Harian X