Selasa, 5 September 2017 | 7:43pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau lainnya berikutan sentimen negatif serta kebimbangan membabitkan tindakan Korea Utara melakukan ujian nuklear pada hujung minggu lalu, kata peniaga.

Sewaktu ditutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.53 mata kepada 1,769.63 selepas berlegar dalam lingkungan 1,766.05 dan 1,785.69 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Pada pembukaan sesi, ia menokok 12.53 mata kepada 1,785.69 daripada 1,773.16 sewaktu ditutup pada Rabu lalu.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 596 berbanding 364 dengan 288 kaunter tidak berubah, 586 tidak didagangkan dan 21 lain digantung.

Jumlah dagangan sebaliknya meningkat kepada 2.53 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 1.83 bilion unit bernilai RM2.21 bilion dicatatkan pada Rabu lalu.

Seorang peniaga berkata kebanyakan saham-saham Asia meneruskan kerugian sesi sebelumnya susulan laporan mengenai ujian nuklear Korea Utara yang mencetuskan kebimbangan mengenai ketidakstabilan serantau.

Bagi pasaran tempatan, Bursa Malaysia sebaliknya dibuka lebih tinggi hari ini, namun susut kemudiannya berikutan perkembangan di Korea Utara dan diheret turun oleh aktiviti penjualan saham-saham wajaran tinggi yang didahului oleh sektor kewangan.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.62 peratus kepada 3,250.84, Hong Hang Seng Hong Kong tidak berubah pada 27,741.35, Kospi Korea Selatan merosot 0.13 peratus kepada 2,326.62 dan Nikkei 225 Jepun berkurangan 0.63 peratus kepada 19,385.81.

Saham-saham wajaran tinggi pula menyaksikan Maybank berkurangan empat sen kepada RM9.42, CIMB Group susut 32 sen kepada RM6.76, Tenaga menambah 10 sen kepada RM14.38 manakala Public Bank dan Sime Darby masing-masing tidak berubah pada RM20.60 dan RM9.

Bagi saham aktif, Sino Hua-an menambah 5.5 sen kepada 21 sen, China Stationery untung tiga sen kepada tujuh sen, Palette Multimedia menokok lima sen kepada 20 sen manakala Anzo Holdings naik satu sen kepada 11 sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 16.76 mata kepada 12,593.31, Indeks FBMT 100 susut 13.38 mata kepada 12,268.28 manakala FBM Ace merosot 35.93 mata kepada 6,576.81.

Bagi Indeks FBM Emas Syariah pula meningkat 43.36 mata kepada 12,792.45 dan FBM 70 naik 25.48 mata kepada 15,085.32.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 1.75 mata kepada 7,850.21, Indeks Perusahaan susut 2.25 mata kepada 3,198.89 manakala Indeks Kewangan berkurangan 174.77 mata kepada 16,597.54.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 1.67 bilion saham bernilai RM2.03 bilion daripada 1.25 bilion saham bernilai RM2.10 bilion dicatatkan pada Rabu lalu.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 672 juta unit bernilai RM123.32 juta berbanding 424.62 juta unit bernilai RM87 juta sebelum ini.

Jumlah waran bertambah kepada 155.24 juta saham bernilai RM21.58 juta daripada 148.80 juta saham bernilai RM18.36 juta sebelum ini.

Barangan pengguna menyumbang sebanyak 317.73 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (607.45 juta), pembinaan (90.66 juta), perdagangan dan perkhidmatan (352.26 juta), teknologi (66.16 juta), infrastruktur (8.50 juta), SPAC (17.95 juta), kewangan (68.66 juta), hotel (220,700), hartanah (112.55 juta), perladangan (22.54 juta), perlombongan (772,800), REIT (8.92 juta) dan dana tertutup (sifar). - BERNAMA

Berita Harian X