Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:26am

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini berikutan sokongan belian berterusan untuk saham tempatan, terutama saham berwajaran tinggi terpilih.

Ia juga sejajar dengan peningkatan keuntungan di Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.01 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 2.32 mata lebih tinggi pada 1,776.79 daripada penutup semalam iaitu 1,774.22.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.13 mata lebih tinggi pada 1,775.35.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 137 berbanding 87, dengan 139 kaunter tidak berubah, 1,474 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Pasaran saham Asia dijangka didagangkan lebih tinggi hari ini kerana pelabur yakin terhadap hasil daripada Mesyuarat Tahunan Dasar Ekonomi Jackson Hole di Wyoming, Amerika Syarikat (AS).

"Mesyuarat dua hari itu dijadualkan bermula Jumaat, mengumpul bank pusat global dan tahun ini, antara acara kemuncak adalah ucapan oleh Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi," kata peniaga itu.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.60, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM14.26 dan RM20.60, manakala Sime Darby kekal RM9.31.

Antara saham aktif, APFT jatuh setengah sen kepada 3.5 sen, Dagang Nexchange susut dua sen kepada 50.5 sen, Luster meningkat setengah sen kepada 12.5 sen dan Frontken kekal pada 34.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 17.52 mata kepada 12,637.08, Indeks FBM Emas Syariah menambah 5.40 mata kepada 12,782.27, FBMT 100 Indeks mendapat 14.54 mata kepada 12,291.49, FBM Ace meningkat 46.82 mata kepada 6,594.19 dan FBM 70 adalah 123,39 mata lebih tinggi pada 15,031.96.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 62.34 mata kepada 16,813.02, Indeks Perusahaan menokok 4.41 mata kepada 3,233.06 tetapi Indeks Perladangan turun 4.17 mata kepada 7,801.27. - BERNAMA

Berita Harian X