Rabu, 2 Ogos 2017 | 10:00pm

Tukar hutang rumah jadi sumber kewangan

ADAKAH anda ingin melangsaikan pembayaran pinjaman anda sebelum bersara? Pernahkah anda terfikir mengenai kebolehan untuk membuat simpanan melalui pembayaran gadai janji yang sedang anda tunaikan? Tidakkah anda bercita-cita untuk mempunyai lebih dari satu hartanah atau bertukar hartanah yang lebih besar dan lebih berharga?

Datang dan dengar penerangan yang bakal disampaikan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MRP (Perancangan Pengurangan Gadai Janji) Advisory Services Sdn Bhd, Franciss Chin pada sesi taklimat sempena Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd di Aman Central Mall, Alor Setar, Kedah dari 4 hingga 6 Ogos.

Franciss yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman di dalam bidang pemasaran perkhidmatan kewangan runcit akan berkongsi bagaimana untuk menyimpan 30 peratus hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan gadai janji dan mendapatkan sejumlah wang tunai dari MRP anda.

Mempunyai pengkhususan dalam perundingan pengurangan faedah gadai janji, Franciss juga akan menyentuh bagaimana untuk memendekkan tempoh pembayaran pinjaman anda dalam masa 5 hingga 15 tahun dan menjalani gaya hidup bebas hutang.

Pameran hartanah ini yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam menawarkan pelbagai projek perumahan dan komersial oleh beberapa pemaju hartanah terkenal di kawasan utara.

Pameran ini adalah platform terbaik untuk orang ramai mendapatkan maklumat terkini tawaran dan pakej hartanah.

Seramai 30 penceramah dan pakar hartanah akan menyampaikan taklimat dan menyertai forum yang diadakan sepanjang tiga hari pameran.

Antara topik yang akan dibincangkan ialah pasaran hartanah di Malaysia dan prospek hartanah sepanjang tahun 2017, strategi, tip dan panduan untuk pelaburan dan penyewaan hartanah.

Berita Harian X