Jumaat, 14 Jun 2024 | 9:34pm
Tengku Zafrul (dua dari kiri) dan Reezal Merican menyaksikan majlis memeterai MoU antara MATRADE dan Amazon - Gambar ihsan MATRADE
Tengku Zafrul (dua dari kiri) dan Reezal Merican menyaksikan majlis memeterai MoU antara MATRADE dan Amazon - Gambar ihsan MATRADE

MATRADE, Amazon meterai MoU perkukuh keupayaan eksport PKS tempatan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Amazon menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kemampuan eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bergabung tenaga untuk meneraju inisiatif 'Go Global with Amazon and MATRADE' yang akan membantu pemilik dan penjual jenama Malaysia merebut peluang perniagaan rentas sempadan dengan program Amazon Global Selling.

"Amazon Global Selling membantu perniagaan di mana-mana sahaja di dunia memulakan perniagaan global, membina jenama antarabangsa dan mencapai ratusan juta akaun pelanggan aktif di seluruh dunia," kata kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini.

MATRADE dan Amazon akan bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan ilmu penting mengenai e-dagang rentas sempadan kepada pemilik dan penjual jenama Malaysia.

Amazon Global Selling akan berkongsi pandangan yang jelas dan kepakarannya, memudahkan pelaksanaan bengkel latihan dan membimbing perniagaan melalui pengalaman penjual Amazon, antaranya pendaftaran akaun, penyediaan produk, penyenaraian, penghantaran dan pengiklanan.

MATRADE dan Amazon akan bekerjasama untuk berkongsi kisah kejayaan penjual berpangkalan di Malaysia yang menjual di luar negara di Amazon seperti kedai di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), memberikan inspirasi dan motivasi kepada pemilik perniagaan kecil tempatan yang lain untuk memulakan perniagaan rentas sempadan dengan Amazon Global Selling.

"MATRADE akan menyokong dan mempromosikan aktiviti latihan Amazon Global Selling kepada entiti tempatan yang berkaitan, termasuk perniagaan, pihak berkuasa dan persatuan perniagaan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih besar," katanya.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata bersama-sama dengan Amazon, ia bertujuan melengkapkan PKS Malaysia dengan alatan, ilmu dan sokongan penting untuk berjaya dalam pasaran global yang kompetitif pada masa ini.

Ketua Jualan Global Amazon bagi Asia Tenggara, Anand Palit, berkata pihaknya menyaksikan minat yang semakin meningkat daripada penjual Malaysia yang berhasrat menjual kepada pelanggan luar negara dengan Amazon.

Beliau berkata, bilangan penjual baharu Malaysia yang menjual produk mereka ke luar negara melalui Amazon Global Selling meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh Januari hingga April 2024 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan berasingan, MATRADE berkata ia telah bekerjasama dengan Tiktok Shop untuk mengukuhkan peluang perniagaan rentas sempadan melalui kempen #ThisisMY.

Menurut kenyataan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, semasa majlis pelancaran kempen itu dilaporkan berkata kempen berkenaan akan membolehkan perniagaan, pengedar dan usahawan Malaysia berkembang ke Singapura.

Kerjasama antara MATRADE dan TikTok Shop adalah sebahagian daripada program pembangunan e-dagang rentas sempadan MATRADE atau eBizLink, iaitu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"#ThisisMY akan membawakan siri aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian ilmu dan latihan mengenai e-dagang rentas sempadan, melibatkan sekurang-kurangnya 30 syarikat Malaysia yang dibantu untuk menjana jualan RM15 juta," kata Tengku Zafrul.

Dengan memanfaatkan Hari Jualan Dalam Talian ASEAN, iaitu acara tahunan yang mempromosikan aktiviti e-dagang dalam ASEAN, kempen #ThisisMY akan dipergiat lagi pada 8 Ogos 2024.

-BERNAMA

Berita Harian X