Selasa, 11 Jun 2024 | 2:53pm
Anwar dan Tengku Zafrul mengadakan perbincangan mengenai industri AI di Malaysia - Foto laman X rasmi Tengku Zafrul
Anwar dan Tengku Zafrul mengadakan perbincangan mengenai industri AI di Malaysia - Foto laman X rasmi Tengku Zafrul

MITI perkenal insentif khas tubuh pusat data AI di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperkenalkan insentif khas bagi penubuhan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz, berkata pusat data AI membawa limpahan ekonomi yang sangat jelas dan memberangsangkan kepada negara.

Beliau berkata, pelaburan dalam infrastruktur teknologi termaju dan pusat data AI juga berupaya menyokong komitmen kerajaan dalam mempercepatkan agenda transformasi digital negara merangkumi setiap aspek, di samping melancarkan lagi usaha peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Katanya, Malaysia telah meluluskan pelaburan di dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Katanya, ini sekali gus memberikan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

"Sehubungan itu, Majlis Pelaburan Negara telah bersetuju supaya MITI melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggubal sebuah kerangka insentif.

"Ini termasuk melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudahcara pelaburan pusat data AI di Malaysia.

"MITI akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pusat data AI," katanya dalam satu hantaran di aplikasi X rasmi milik beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyatakan Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi AI dalam era pasca normal pada masa ini.

Anwar turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Selain itu, pembangunan industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesional dan individu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan ahli akademik.

Beberapa gergasi teknologi juga telah menyatakan komitmen mereka di Malaysia seperti pelaburan Google bernilai RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk menempatkan pusat data dan wilayah awan Google pertama di Malaysia.

Malaysia akan menyertai 'cloud region' atau wilayah awan bersama 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global.

NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab AI.

NVIDIA telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.

Berita Harian X