Selasa, 4 Jun 2024 | 10:08pm
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC perkenal insentif cukai inovatif syarikat Malaysia Digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sokongan Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan, baru-baru ini memperkenalkan skim insentif cukai inovatif untuk syarikat Malaysia Digital (MD).

MDEC dalam kenyataan memaklumkan, skim baharu itu menawarkan pelbagai manfaat untuk syarikat digital yang memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, rantaian blok, dan rangkaian kesalinghubungan dan/atau teknologi telekomunikasi termaju.

Syarikat yang layak boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan korporat yang kompetitif ke atas pendapatan harta intelek (IP) dan pendapatan harta bukan intelek (Non-IP), serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA) untuk aktiviti perkhidmatan yang berintensifkan modal.

"Struktur skim yang fleksibel ini bagi membolehkan syarikat menikmati insentif cukai berdasarkan komitmen yang ditetapkan, sekali gus memacu pertumbuhan dalam aktiviti bernilai tinggi, dan memberi ganjaran kepada prestasi," menurut kenyataan itu.

Skim itu turut menawarkan insentif cukai untuk syarikat yang layak dalam dua kategori, iaitu Insentif Pelaburan Baharu dan Insentif Pengembangan.

MDEC memaklumkan, syarikat dalam kategori pelaburan baharu boleh menikmati Kadar Cukai Istimewa (RTR) sebanyak kosong peratus pada pendapatan IP, dan lima peratus atau 10 peratus bagi pendapatan harta bukan intelek selama 10 tahun.

Sementara itu, syarikat dalam kategori pengembangan pula boleh menikmati RTR sebanyak 15 peratus selama lima tahun.

"Sebagai alternatif, syarikat di bawah kedua-dua kategori boleh memilih ITA antara 30 peratus hingga 100 peratus bagi perbelanjaan modal untuk aktiviti yang layak dan boleh ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun," katanya.

Menurut MDEC, inisiatif itu memenuhi komitmen kerajaan di bawah Belanjawan 2024 untuk memperkenalkan insentif cukai berasaskan hasil untuk mengukuhkan ekonomi dengan memacu pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, menggalakkan pembentukan kluster ekonomi baharu, serta menyediakan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz dalam kenyataan sama berkata, pengenalan insentif cukai itu sejajar dengan keperluan ekonomi semasa dan amalan terbaik antarabangsa, selain menjadi pencetus perubahan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

"Dengan menarik bakat global dan pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi, kami menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem digital yang berkembang maju, menjana pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, dan mengintegrasikan teknologi termaju di dalam negara," kata Mahadhir.

-BERNAMA

Berita Harian X