Selasa, 4 Jun 2024 | 1:19pm
Gambar fail. Minyak kelapa sawit. - NSTP/EMAIL
Gambar fail. Minyak kelapa sawit. - NSTP/EMAIL

Minyak sawit mampan pilihan terbaik untuk kulit, badan

KUALA LUMPUR: Zaman sekarang, ramai di antara kita cenderung untuk mencari produk yang mampu membantu menjadikan kita kelihatan cantik dan kekal sihat.

Salah satu daripada bahan yang mempunyai faedahnya yang luar biasa adalah minyak sawit mampan.

Diperoleh daripada buah pokok sawit, minyak serba boleh ini bukan sahaja menjadi bahan wajib di banyak dapur tetapi juga adalah bahan utama dalam pelbagai produk penjagaan kulit.

Dr Nur Khaisiyah Othman ialah seorang pengamal perubatan dan lulusan Sechenov First Moscow State Medical University. Beliau mempunyai pengalaman dalam pelbagai disiplin perubatan sepanjang perkhidmatannya di hospital awam, terutama dalam bidang anestesiologi, dan mempunyai pengalaman merawat pesakit COVID-19 Tahap 5.
Dr Nur Khaisiyah Othman ialah seorang pengamal perubatan dan lulusan Sechenov First Moscow State Medical University. Beliau mempunyai pengalaman dalam pelbagai disiplin perubatan sepanjang perkhidmatannya di hospital awam, terutama dalam bidang anestesiologi, dan mempunyai pengalaman merawat pesakit COVID-19 Tahap 5.

Fleksibiliti luar biasa minyak sawit membantu meningkatkan kesihatan dalaman dan kecantikan luaran menjadikannya antara yang sangat diperlukan dalam rejim kesihatan holistik.

Bagi mereka yang mengambil berat tentang kesihatan jantung, minyak sawit mampan menawarkan faedah yang menarik dalam mengurangkan tahap kolesterol.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Perpustakaan Perubatan Negara 'minyak sawit tidak mempunyai risiko tambahan untuk penyakit kardiovaskular' apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang.

Dengan mengambil minyak sawit mampan pada kadar yang bersesuaian dalam diet anda, anda boleh menikmati rasa lemak mentega sambil menjaga kesihatan jantung anda.

Selain dari manfaatnya di dalam masakan, minyak sawit mampan adalah 'superstar' dalam penjagaan kulit. Apabila digunakan sebagai ramuan dalam krim kulit, minyak sawit mempunyai keupayaan untuk menyuburkan kulit secara mendalam dan mencipta halangan dan perlindungan terhadap bahan pencemar alam sekitar menjadikannya satu entiti yang amat berharga.

Apabila digunakan pada kulit, minyak sawit membantu memulihkan penghidratan, mencegah kekeringan dan melembabkan.

Ini sangat baik bagi mereka yang memiliki kulit sensitif, yang dengan mudah terkesan ekoran cuaca yang teruk dan pencemaran.

Bagi mereka yang mengalami masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis, mereka boleh boleh mendapatkan manfaat dalam minyak sawit yang mampan.

Ciri-cirinya yang melembapkan membantu mengurangkan radang pada kulit, mengurangkan kemerahan dan ketidakselesaan.

Profil nutrien minyak yang kaya, termasuk vitamin A, C, dan E, serta beta karotena, meningkatkan kemampuan penyembuhannya.

Vitamin ini adalah antioksidan penting yang melawan radikal bebas yang terkenal kerana menyebabkan penuaan pramatang.

Bercakap tentang penuaan, minyak sawit mampan adalah sekutu anti-penuaan yang kuat.

Vitamin dan antioksidan yang terdapat dalam minyak memerangi radikal bebas, yang menjadi salah satu punca utama di sebalik garis halus dan kedutan. Dengan mengurangkan tekanan oksidatif pada sel kulit, minyak sawit membantu mengekalkan kulit muda dan bermaya. Persatuan Kosmetik, Peralatan Mandi dan Minyak wangi, iaitu sebuah persatuan perdagangan UK berkata, penggunaan minyak sawit dalam industri kosmetik adalah pilihan alternatif yang terbaik.

Jenama solek dan kosmetik utama telah menerima minyak sawit mampan.

Gergasi dalam industri kecantikan Estee Lauder juga telah membina platform bagi menguar-uarkan usahanya dalam menyokong minyak sawit mampan dan beretika untuk kecantikan.

Credo Beauty telah menyatakan pendiriannya mengenai pelbagai bahan dalam produk yang dijualnya, termasuk minyak sawit, di mana ia merasakan penyelesaiannya bukan untuk melarang minyak sawit, tetapi untuk mewujudkan permintaan yang jelas untuk minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.

L'Oréal menyatakan di laman webnya bahawa ia percaya dalam "melangkah lebih jauh bagi mendapatkan sumber minyak sawit mampan."

Hasil daripada tindakan berterusannya, syarikat itu telah memperoleh kedudukan teratas dalam kad skor pembeli minyak sawit WWF.

Sama ada produk telah dirumus semula untuk menyingkirkan minyak sawit, atau sama ada produk itu berbangga atas slogan 'Bebas Minyak Sawit' pada labelnya, hakikatnya produk itu kini menggunakan campuran minyak sayuran lain seperti bunga matahari, soya, atau minyak kelapa bagi menggantikan minyak sawit.

Di peringkat global, minyak sawit membekalkan antara 35 peratus dan 40 peratus daripada permintaan minyak sayuran dunia dengan hanya kurang 6.0 peratus daripada tanah pertanian yang digunakan untuk penghasilan semua minyak sayuran.

Untuk mendapatkan jumlah yang sama daripada minyak alternatif seperti minyak kacang soya, kelapa atau bunga matahari, kita memerlukan antara 4 hingga 10 kali lebih banyak tanah, yang hanya akan membawa kepada satu permasalahan lain antaranya mengancam habitat, spesies dan komuniti lain.

Selain itu, pengeluaran minyak sawit memerlukan jumlah baja, racun perosak dan input tenaga yang lebih sedikit.

Saya juga ingin menekankan kepentingan memilih minyak sawit yang mampan, kerana ia dihasilkan dengan menghormati alam sekitar dan masyarakat setempat.

Dengan memilih produk yang menggunakan minyak sawit mampan yang diperakui, pengguna boleh menikmati faedahnya tanpa menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar. Di Malaysia, pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) diwajibkan untuk ladang sawit, pekebun kecil, dan kilang pemprosesan minyak sawit, memastikan semua aspek pengeluaran minyak sawit mematuhi amalan mampan dan menggalakkan pemuliharaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

Berita Harian X