Khamis, 30 Mei 2024 | 4:36pm
Gambar fail. Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Gambar fail. Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

MyCIF sokong PMKS, labur RM289 juta tahun lalu

KUALA LUMPUR: Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) telah melabur bersama sebanyak RM289 juta melalui platform pembiayaan alternatif kepada 3,587 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada 2023.

Pelaburan itu sekali gus memacu pertumbuhan dan meningkatkan daya saing PMKS Malaysia dengan konsisten.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, MyCIF telah memacu hampir RM2 bilion pelaburan swasta melalui pelaburan sebanyak RM289 juta tahun lalu.

Beliau berkata, ia membuktikan peranan pentingnya dalam memupuk pertumbuhan segmen ECF dan pembiayaan P2P.

"Sektor pertanian khususnya menyaksikan peningkatan sebanyak 86 peratus dalam penerbit

yang disokong oleh skim pertanian MyCIF.

"Tambahan pula, MyCIF mampu mencapai kadar yang lebih tinggi bagi PMKS di luar Lembah Klang iaitu 49 peratus daripada 40 peratus pada tahun sebelumnya.

"Ini bukti MyCIF menyokong keterangkuman dalam kalangan PMKS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MyCIF ialah dana pelaburan bersama yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk melabur bersama dalam PMKS melalui platform pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P).

SC berkata, sejak penubuhannya, MyCIF menerima jumlah peruntukan sebanyak RM250 juta daripada kerajaan dan berjaya melabur bersama RM930 juta dalam lebih 6,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mencapai kesan berganda sebanyak 3.7 kali.

Katanya, ia memperoleh RM3.82 bilion dalam pelaburan swasta, menjadikan jumlah dana yang diperoleh dengan sokongan myCIF kepada RM4.75 bilion.

Selain itu katanya, MyCIF telah menjana pulangan positif bersih ke atas modal berjumlah RM20.7 juta atau 8.2 peratus daripada jumlah peruntukan daripada MOF.

Dengan tambahan sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2024 katanya, MyCIF akan terus menyokong inisiatif dalam bidang tumpuan iaitu pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, komuniti dan pembangunan aset wakaf melalui Majlis Agama Islam Negeri, selaras dengan agenda keterjaminan makanan dan kemampanan.

"Pada Hari Terbuka MyCIF baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menekankan keperluan untuk meningkatkan profil MyCIF dalam kalangan PMKS dan pelabur di peringkat nasional.

"Dua insentif baharu diumumkan untuk PMKS termasuk dalam segmen huluan sektor pertanian dan bioekonomi berkuat kuasa sehingga akhir 2025," katanya.

Berita Harian X