Rabu, 29 Mei 2024 | 12:44pm
Terdapat 816 saham patuh Syariah yang mewakili lebih daripada 80 peratus jumlah keseluruhan syarikat tersenarai -NSTP/ASYRAF HAMZAH
Terdapat 816 saham patuh Syariah yang mewakili lebih daripada 80 peratus jumlah keseluruhan syarikat tersenarai -NSTP/ASYRAF HAMZAH

Pasaran modal Islam di Malaysia cecah RM2.4 trilion akhir 2023

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Islam (ICM) berkembang menjadi salah satu komponen utama ekonomi negara, mencakupi hampir 64 peratus daripada pasaran modal Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin, berkata ICM berkembang mencecah RM2.4 trilion pada akhir 2023.

Beliau berkata, jumlah sukuk terkumpul melebihi RM1.2 trilion, aset dana Islam di bawah pengurusan melepasi RM226 bilion dan ekuiti patuh Syariah berjumlah RM1.2 trilion.

"Malaysia kekal sebagai peneraju global bagi sukuk dari segi terbitan, dan pada akhir tahun lalu, ia menyumbang 35 peratus daripada sukuk terkumpul global," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada hari kedua Forum Global Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Awang Adek menambah, satu lagi bahagian penting dalam ekosistem ICM adalah kehadiran dominan saham-saham patuh Syariah di pasaran saham tempatan.

Beliau berkata, SC mengumumkan senarai rasmi pertama saham-saham patuh Syariah pada 18 Jun 1997, yang merangkumi 371 syarikat, merangkumi separuh daripada syarikat senaraian awam pada masa iti.

"Hari ini, terdapat 816 saham patuh Syariah yang mewakili lebih daripada 80 peratus jumlah keseluruhan syarikat tersenarai," katanya.

Beliau menambah, dalam bidang pengurusan aset pula, kini terdapat 58 syarikat pengurusan aset Islam yang menguruskan portfolio berjumlah RM236.6 bilion, merangkumi 19 syarikat asing yang ditubuhkan dalam negara dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak 63.8 bilion (27 peratus) dan 39 syarikat tempatan dengan jumlah AUM sebanyak 172.8 bilion (73 peratus).

Awang Adek berkata, kembali kepada matlamat teras kewangan Islam adalah penting untuk membawa ICM ke tahap baharu.

Beliau berkata, pematuhan Syariah adalah penting, namun syarat yang tidak mencukupi untuk mengelak kerosakan kepada masyarakat.

"Makanan ringan mungkin patuh Syariah, namun membahayakan pengguna," katanya.

Disebabkan itu, katanya Panduan Maqasid al-Shariah diperkenalkan pada November lalu, untuk memberikan panduan kepada Syariah serta standard untuk mengelakkan kerosakan dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dan manusiawi.

Berita Harian X