Khamis, 23 Mei 2024 | 1:31pm
Ketua Setiausaha perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican semasa pelancaran Pemangkin MSME dan MTC, Pelan Hala Tuju 5 Tahun Pasaran Modal (2024-2028) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/ AZIAH AZMEE
Ketua Setiausaha perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican semasa pelancaran Pemangkin MSME dan MTC, Pelan Hala Tuju 5 Tahun Pasaran Modal (2024-2028) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Langkah baharu rangsang Pasaran LEAP dijangka siap awal tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Langkah baharu mempertingkatkan Pasaran LEAP dijangka siap menjelang awal tahun depan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, menggiatkan semula Pasaran LEAP sebagai destinasi utama pengumpulan dana bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) penting untuk menangani isu yang dihadapi mereka dalam mengakses pembiayaan.

Katanya, terdapat dua cabaran utama yang dihadapi oleh PMKS dan MTC dalam melaksanakan penyenaraian di pasaran awam dengan pertamanya, kos pengumpulan dana yang tinggi dan kedua, kekurangan laluan yang jelas untuk mengakses pasaran awam dan seterusnya beralih kepada pasaran berperingkat lebih tinggi.

"Berikutan inisiatif SC dalam meluaskan kelas pelabur yang layak untuk Pasaran LEAP awal tahun ini, Kementerian Kewangan telah meminta SC untuk mengkaji semula Pasaran LEAP dengan lebih lanjut, terutamanya dari segi meluaskan kumpulan penasihat penyenaraian untuk memasukkan profesional seperti firma perakaunan dan guaman dan membenarkan kaedah pengiraan alternatif untuk penasihat, seperti pembayaran dalam saham untuk mengurus keperluan aliran tunai syarikat tersenarai, dengan perlindungan yang berkesan untuk mengurus konflik kepentingan.

"Matlamatnya adalah untuk menyediakan langkah baharu Pasaran LEAP ini pada awal tahun depan," katanya pada pelancaran pelan hala tuju bertajuk 'Memangkin Akses bagi PMKS dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)' oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, hari ini.

Ucapan Menteri Kewangan II itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. Hadir sama, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Amir Hamzah berkata, bagi mengurangkan risiko pelaburan PMKS dan MTC, CGC Malaysia baru-baru ini melancarkan tambahan RM30 juta Jaminan Portfolio untuk modal kerja di bawah Pinjaman Berjangka dengan Funding Societies untuk pembiayaan sehingga RM500,000 pada awal Mei 2024.

Beliau berkata, tranche baharu itu adalah tambahan kepada program Jaminan Portfolio pertama CGC sebanyak RM10 juta yang diperkenalkan pada April tahun lalu, yang telah berjaya digunakan.

"Membina momentum ini, CGC akan meneroka dan berbincang dengan lebih banyak pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk menawarkan jaminan bagi penyelesaian mereka.

"Semoga lebih banyak produk jaminan boleh dikeluarkan menjelang separuh pertama 2024, seterusnya memperkukuh usaha untuk menyediakan akses yang lebih besar kepada pembiayaan pasaran modal," katanya.

Amir Hamzah berkata, Panduan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab untuk Pasaran Persendirian dan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) yang dikeluarkan baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesediaan mereka untuk mengakses pembiayaan.

Beliau berkata, sebagai lanjutan kepada SEDG, Capital Markets Malaysia, sekutu SC, akan mengeluarkan Panduan Sektor SEDG yang memaparkan pendedahan yang dipertingkatkan untuk lima sektor penting dalam ekonomi Malaysia.

Katanya, sektor itu ialah tenaga, pengangkutan dan penyimpanan, pembinaan dan hartanah, pertanian dan pembuatan.

Amir Hamzah juga mengumumkan pelancaran ELEVATE 2.0, program inkubasi pasaran modal yang diterajui oleh Capital Markets Malaysia.

Beliau berkata, program inkubasi itu akan dijalankan dengan kerjasama MATRADE dan SME Corp sebagai agensi utama yang mengawasi pembangunan MTC dan PMKS.

Berita Harian X