Khamis, 23 Mei 2024 | 11:20am
Gambar fail. Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Gambar fail. Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Dana pasaran modal PMKS, MTC disasar meningkat kepada RM40 bilion - SC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasar untuk mengembangkan pengumpulan dana dalam pasaran modal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) sebanyak tujuh kali ganda kepada RM40 bilion menjelang 2028 menerusi pelan hala tuju lima tahunnya yang dilancarkan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata peningkatan itu adalah pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 46 peratus dalam tempoh lima tahun daripada RM6.3 bilion pada 2023.

Pelan hala tuju "Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)" itu dilancarkan bagi menyediakan pelan tindakan lima tahun dengan strategi silang dalam mentransformasikan pasaran modal untuk meningkatkan akses kepada PMKS (termasuk syarikat pemula niaga) dan MTC.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata pelan itu menetapkan hala tuju lebih meluas serta tindakan terperinci yang perlu diambil dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang, untuk meningkatkan akses kepada penerbit kecil dan sederhana, serta menarik pelabur untuk melabur dalam syarikat ini, sebagai kelas aset.

"Kami menggunakan lima prinsip panduan untuk menangani isu sedia ada dalam ekosistem semasa serta memanfaatkan peluang yang muncul.

"Ini berjaya menghasilkan sembilan strategi dan 36 inisiatif, termasuk meningkatkan laluan pengumpulan dana mereka dan menyediakan produk yang inovatif dan disesuaikan yang disasarkan kepada PMKS dan MTC," katanya.

Awang Adek berkata pelan hala tuju itu selaras dengan salah satu objektif asas Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, iaitu untuk mengukuhkan saluran pembiayaan berasaskan pasaran kepada firma dalam kategori berkenaan.

Menurutnya, pelan hala tuju itu yang terhasil susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan utama, adalah pelan tindakan yang praktikal dan komprehensif.

Antara prinsip panduan ialah mengurangkan kos keperluan bagi pengeluaran dan penggalakan pengumpulan dana untuk PMKS dan MTC, menggalakkan kesedaran dan pembinaan kapasiti serta meningkatkan penyertaan pelabur dan akses kepada PMKS dan MTC.

Selain itu, pelan hala tuju tersebut juga bertujuan untuk menginovasi dan menyesuaikan instrumen bagi akses inklusif, serta memanfaatkan teknologi untuk penyediaan maklumat dan kesalinghubungan yang lebih meluas.

Strategi pelan hala tuju termasuk meningkatkan laluan PMKS dan MTC kepada pengumpulan dana, menggiatkan semula Pasaran LEAP sebagai pasaran pengantara PKS, menginovasi dan menyesuaikan produk bagi PMKS dan MTC, memudahkan janji niaga pasaran persendirian dan menjalin perkongsian awam-swasta untuk pelaburan PMKS dan MTC.

Ia juga bertujuan untuk menambah baik pendigitalan dan ketersambungan maklumat dan data PMKS dan MTC, meningkatkan kesediaan mereka, mengukuhkan rujukan pasaran modal, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelabur dan pengantara.

Dalam menyokong strategi tersebut, 36 inisiatif telah dikenal pasti dengan tiga pendekatan untuk mengukuhkan ekosistem pasaran modal PMKS dan MTC.

Tiga pendekatan tersebut ialah inovasi produk, infrastruktur pasaran dan pembinaan kapasiti

"Pelaksanaan strategi dan inisiatif ini dipandu oleh pendekatan keseluruhan negara, menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan.

"Inisiatif utama dibangunkan dengan kerjasama rakan-rakan daripada kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta. Gabungan usaha semua pihak berkepentingan akan menggalakkan sinergi dan penyelarasan yang lebih baik dalam mencapai hasil daripada pelan hala tuju itu," kata SC.

Menurut suruhanjaya itu, PMKS menyumbang lebih satu pertiga (38.4 peratus atau RM580.4 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menggaji hampir separuh (48.2 peratus) daripada tenaga kerja pada 2022.

Pertumbuhan KDNK PMKS (11.6 peratus) juga mengatasi pertumbuhan keseluruhan KDNK domestik yang jelas menunjukkan kepentingan mereka dalam memacu ekonomi negara.

Landskap perniagaan Malaysia juga terdiri daripada kira-kira 8,500 MTC, yang menyumbang sekitar 36 peratus kepada KDNK Malaysia dan menggaji lebih 16 peratus tenaga kerja.

SC berkata pasaran modal menjadi sumber pembiayaan yang semakin meningkat kepada PMKS dan MTC, dengan RM25.3 bilion dana diperoleh dari 2017 hingga 2023 melalui pasaran modal PMKS dan MTC.

Pasaran modal terdiri daripada modal teroka, ekuiti persendirian, pendanaan awam ekuiti (ECF), pembiayaan rakan setara (pembiayaan P2P), Pasaran LEAP dan Pasaran ACE, katanya.

Antara 2017 hingga 2023, Pasaran LEAP dan Pasaran ACE merupakan sumber pembiayaan terbesar dalam pasaran modal PMKS dan MTC dengan RM12.8 bilion berjaya dijana, menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan modal yang dikumpul.

Modal teroka dan ekuiti persendirian menyumbang RM5.9 bilion daripada jumlah dana yang dikumpul menerusi pasaran modal PMKS dan MTC, manakala kempen pendanaan awam ekuiti mengumpul RM676.9 juta dan kempen pembiayaan P2P mengumpul RM5.97 bilion. – Bernama

Berita Harian X