Rabu, 22 Mei 2024 | 3:02pm
Penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel dianggarkan sebanyak RM4 bilion -NSTP/ASWADI ALIAS.
Penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel dianggarkan sebanyak RM4 bilion -NSTP/ASWADI ALIAS.

Rasionalisasi subsidi bahan api dijangka bermula pertengahan Jun - Penganalisis

KUALA LUMPUR: CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api akan bermula seawal pertengahan Jun 2024.

Unjuran ini sejajar dengan bayangan daripada kerajaan baru-baru ini bahawa rasionalisasi akan bermula dengan diesel, kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

"Tarikh pelaksanaan tidak dinyatakan, namun kami difahamkan bahawa pendaftaran untuk sistem 'fleet card' (diesel bersubsidi) dijadualkan pada bulan depan, jadi Jun dijangkakan menjadi tarikh paling awal.

"Memandangkan proses permohonan untuk 'fleet card' itu, kami menjangkakan pelaksanaan (rasionalisasi) akan dilakukan seawal pertengahan Jun," kata bank itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Perutusan beliau malam tadi, mengumumkan keputusan Kabinet untuk memulakan rasionalisasi subsidi bahan api, bermula dengan diesel.

Bagaimanapun, garis masa pelaksanaannya tidak dinyatakan, sementara menunggu pengumuman daripada kementerian berkaitan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali pada Februari lalu menyatakan rancangan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel menjelang Jun 2024.

Menurut Perdana Menteri, penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel itu dianggarkan sebanyak RM4 bilion, bersamaan dengan 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun.

CIMB Investment Bank menggariskan dua peringkat permohonan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) 2.0.

Ini termasuk permohonan kepada KPDN untuk mendapatkan kebenaran, dengan kelulusan mengambil masa sehingga dua hari, dan permohonan kepada syarikat minyak untuk mendapatkan 'fleet card' yang dianggarkan mengambil masa sehingga empat minggu.

Proses permohonan SKDS 2.0 untuk syarikat yang mengendalikan sembilan jenis kenderaan pengangkutan barang bermula pada 7 Mac dan telah diperluaskan kepada 14 jenis kenderaan komersial tambahan setakat 13 Mei.

"Pada tahap ini, masih tidak jelas sama ada individu yang layak memiliki kenderaan berkuasa diesel perlu memohon bantuan tunai, atau sama ada kerajaan akan menggunakan maklumat daripada pangkalan data PADU," kata bank pelaburan itu.

Pangkalan Data Utama, atau PADU, berfungsi sebagai repositori berkomputer untuk menyimpan dan mengurus maklumat mengenai utiliti dan butiran berkaitan.

-BERNAMA

Berita Harian X