Ahad, 19 Mei 2024 | 11:28am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dairi kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MOU kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz (kiri) dan Timbalan Pengerusi CICU, Urakov Jamshed Radjabovich sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Samarkand, semalam. - BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dairi kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MOU kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz (kiri) dan Timbalan Pengerusi CICU, Urakov Jamshed Radjabovich sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Samarkand, semalam. - BERNAMA

Kerjasama strategik MATRADE, CICU buka lebih banyak peluang syarikat Malaysia tembusi pasaran Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Uzbekistan (CCIU) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menaikkan profil perkhidmatan Malaysia di Uzbekistan dan negara-negara jiran.

Kerjasama strategik itu akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia menjalankan perniagaan di Uzbekistan kerana CCIU adalah komuniti perniagaan persekutuan terbesar di negara Asia Tengah itu, mewakili lebih 280,000 perusahaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE memaklumkan, MoU itu antara lain akan memperdalamkan lagi kerjasama promosi dan pembangunan perdagangan antara kedua-dua organisasi.

"Bidang kerjasama itu merangkumi, antaranya pertukaran maklumat perdagangan, aktiviti promosi perdagangan bersama seperti pameran, seminar, forum perniagaan dan e-dagang rentas sempadan.

"Selain itu, perkongsian dalam bidang pembinaan kapasiti serta latihan dengan tujuan meningkatkan daya saing dan kecekapan syarikat Malaysia serta Uzbekistan," menurut kenyataan berkenaan.

Menurut MATRADE, kerjasama itu juga akan memudahkan lebih banyak interaksi antara syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari kedua-dua negara.

"Pasaran Uzbekistan dan Asia Tengah yang mempunyai 80 juta penduduk adalah potensi besar untuk produk dan perkhidmatan kompetitif Malaysia melalui platform konvensional dan e-dagang.

"Produk dan perkhidmatan Malaysia yang dikenal pasti berpotensi tinggi ialah makanan dan minuman, halal, peranti farmaseutikal dan perubatan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Syarikat Uzbekistan digalakkan untuk memanfaatkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) untuk meneroka pasaran halal global yang luas, terutama di ASEAN, Asia Barat dan Afrika Utara (MENA)," menurut kenyataan itu lagi.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan ialah RM426.2 juta (AS$94 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM424.3 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.9 juta (AS$0.4 juta).

Eksport utama Malaysia ke Uzbekistan termasuk minyak sawit, kopi, oleokimia berasaskan sawit, marjerin dan lemak sayuran, makanan diproses dan minyak kelapa. Import dari Uzbekistan pula kebanyakannya baja, buah-buahan dan tekstil.

Uzbekistan menjadi ekonomi sedang pesat membangun yang bergantung pada gas asli dan eksport komoditi untuk pertumbuhan. Negara itu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan menjadi lebih menarik untuk perdagangan dan pelaburan.

Berita Harian X