Ahad, 5 Mei 2024 | 4:14pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow -NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow -NSTP/MIKAIL ONG

Pulau Pinang bakal miliki Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan pelan untuk mewujudkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital, yang menawarkan sejumlah sejuta kaki persegi ruang pejabat premium untuk menarik dan menempatkan projek berimpak tinggi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pembangunan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk perniagaan dan usahawan dalam sektor ini.

Beliau berkata, pembangunan taman itu terdiri daripada dua fasa, membabitkan 42.5 hektar di Taman Perindustrian Bayan Lepas.

"Fasa pertama yang bermula pada Januari tahun lalu membabitkan pembinaan dua bangunan pejabat, iaitu Global Business Services (GBS) By The Sea dan GBS TechSpace, dengan kos keseluruhan RM347 juta.

"(Fasa pertama) dijadual siap pada suku keempat tahun ini, menyediakan kira-kira 350,000 kaki persegi ruang pejabat premium, dilengkapi dengan ciri-ciri bangunan berspesifikasi tinggi, kemudahan makmal kejuruteraan terkini dan tempat letak kereta," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kon Yoew berkata, fasa kedua membabitkan pembinaan GBS@Technoplex, dengan kos kira-kira RM308 juta, dijadualkan siap pada 2027.

Katanya, sebelum ini, negeri ini sudah mempunyai bangunan GBS sendiri yang pertama di Malaysia, iaitu GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri, melambangkan komitmen negeri ke arah ekosistem yang kukuh untuk inovasi digital.

Beliau berkata, Pulau Pinang kini menempatkan 200 syarikat berstatus Malaysia Digital, kebanyakannya daripada pelaburan langsung asing, menunjukkan tarikan negeri ini dalam sektor ini.

"Bagi mempromosikan lagi reka bentuk IC, negeri ini memperkenalkan kadar sewa bersubsidi untuk ruang pejabat.

"Selain itu, kami dalam proses memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk insentif dan geran bagi meningkatkan ekosistem terbabit. Inisiatif ini akan dimasukkan dalam pakej insentif yang akan datang," katanya.

Kon Yeow berkata, negeri komited untuk menyediakan infrastruktur yang terbaik, kemudahan yang kondusif dan menarik untuk mengukuhkan kedudukan perintis Pulau Pinang dalam industri reka bentuk IC dan digital.

Sejak 30 tahun yang lalu, Pulau Pinang menjadi lokasi kepada lebih 20 syarikat Reka Bentuk IC global, termasuk Intel, Motorola, AMD, Microchip, UST Global, Siemens, Zebra, Lattice dan Synopsys serta beberapa syarikat reka bentuk IC tempatan seperti SkyeChip, Oppstar Technology dan Infinecs Systems.

-BERNAMA

Berita Harian X