Jumaat, 3 Mei 2024 | 12:51pm
Microsoft mengumumkan pelaburan berjumlah RM10.5 bilion di Malaysia - Foto AFP
Microsoft mengumumkan pelaburan berjumlah RM10.5 bilion di Malaysia - Foto AFP

Komitmen pelaburan Microsoft cermin potensi digital Malaysia

KUALA LUMPUR: Komitmen pelaburan terbaharu berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) diumumkan Microsoft mencerminkan potensi digital Malaysia, demikian menurut Kementerian Digital.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Digital berkata, pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia itu menandakan satu kejayaan dalam kerjasama berterusan untuk memacu ekonomi digital negara ke hadapan.

"Kementerian Digital mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Microsoft membabitkan pelaburan tunggal terbesar mereka sebanyak AS$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang di Malaysia.

"Sebagai tambahan kepada pelaburan, Kementerian Digital juga memuji inisiatif Microsoft untuk mencipta peluang kemahiran AI (kecerdasan buatan) untuk dimanfaatkan 200,000 rakyat Malaysia.

"Ia bersama-sama dengan inisiatif AI Odyssey untuk memperkasakan 2,000 pembangun perisian Malaysia dengan memanfaatkan potensi teknologi AI," katanya.

Menurut Kementerian Digital, sebagai rakan kongsi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 1998, Microsoft telah memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif kerjasama, termasuk pembangunan bakat, sokongan kepada syarikat pemula niaga serta penggunaan digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Pelaburan ini mengesahkan komitmen Microsoft terhadap pertumbuhan digital Malaysia dan mempamerkan kekuatan perkongsian ini.

"Disokong MDEC, pelaburan Microsoft di Malaysia termasuk penubuhan pusat perkhidmatan perniagaan global dan pembangunan pusat data di lokasi strategik di seluruh negara.

"Microsoft juga telah menjadi rakan kongsi utama dalam agenda pendigitalan sektor awam, selepas menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan pada 2022," katanya.

Selain itu, Kementerian Digital juga mengiktiraf kerjasama antara Microsoft dan kerajaan untuk penubuhan Pusat Kecemerlangan AI (COE) kebangsaan dan peningkatan keupayaan keselamatan siber negara.

"Dengan agensi digital di bawah bidang kuasa Kementerian, termasuk MDEC dan Cyber Security Malaysia (CSM), perkongsian ini bersedia untuk memacu kemajuan selanjutnya dalam bidang kritikal ini.

"Tambahan pula, sokongan Microsoft telah memainkan peranan penting dalam usaha MDEC untuk membina kumpulan bakat teknologi digital yang mantap, daripada sekolah ke institusi pengajian tinggi dan melatih semula serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada bagi memenuhi permintaan industri yang berkembang.

"Kerjasama ini telah membawa kepada penciptaan rangkaian Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), yang terdiri daripada 42 fakulti berkaitan teknologi di 24 institusi pengajian tinggi di seluruh negara, dan telah membentuk kumpulan syarikat tempatan yang tersedia AI dalam ekosistem MDEC," katanya.

Kementerian Digital berkata, ia berharap kerjasama dengan Microsoft dan peneraju industri lain dapat memacu inovasi, memupuk pembangunan bakat digital dan mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab digital global.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menyifatkan pelaburan besar dibuat Microsoft ke Malaysia adalah sebagai bukti keyakinan syarikat asing terhadap negara ini.

"Saya rasa ini adalah satu perkara yang cukup baik dan menunjukkan bahawa perhatian global adalah (tertumpu) pada Malaysia sekarang di mana negara dilihat sebagai satu destinasi pelaburan.

"Pelaburan besar seperti ini memerlukan infrastruktur dan jumlah tenaga yang lengkap dan mencukupi, maka kerana ini mereka memilih Malaysia untuk melabur kerana kita ada menyediakan semua ini," katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Ericsson dengan eMooVit Technology, Scania dan SKF Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Berita Harian X