Khamis, 2 Mei 2024 | 2:44pm
Tengku Zafrul di Rumah Terbuka Bernama 2024 hari ini - Foto BERNAMA
Tengku Zafrul di Rumah Terbuka Bernama 2024 hari ini - Foto BERNAMA

'Pelaburan Microsoft bukti Malaysia hab pilihan di Asia Tenggara'

KUALA LUMPUR: Keputusan Microsoft Corp untuk melabur di negara ini membuktikan Malaysia diiktiraf sebagai hab pilihan di Asia Tenggara yang sekali gus mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai pasaran pertumbuhan penting.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ini menunjukkan keyakinan Microsoft terhadap Asia Tenggara dan kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk untuk pertumbuhan.

"Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa rakan Kabinet saya dan menyatakan komitmen beliau untuk melabur dalam tempoh empat tahun akan datang, terutamanya dalam pusat data dan kecerdasan buatan (AI)," katanya kepada Bernama selepas menghadiri acara Rumah Terbuka Bernama 2024, yang diadakan di sini, hari ini.

Syarikat teknologi dan perbadanan multinasional Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan bahawa ia komited untuk melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam teknologi awan dan AI di Malaysia dan AS$1.7 bilion (RM8.1 bilion) di Indonesia.

"Pelaburan Microsoft dalam infrastruktur bagi tempoh empat tahun akan datang akan meningkatkan kemahiran 200,000 rakyat Malaysia dan mempercepat perjalanan transformasi digital negara," kata Tengku Zafrul.

Terdahulu, MITI berkata bahawa langkah syarikat multinasional itu juga menyokong inisiatif nasional Malaysia untuk menerima guna teknologi pemboleh baharu, termasuk AI dan AI generatif, yang boleh memanfaatkan AS$113.4 bilion kapasiti produktif di Malaysia.

Pelaburan itu juga akan memperkasakan keterangkuman dan pertumbuhan ekonomi menerusi teknologi inovatif dan canggih, kata kementerian itu dalam satu kenyataan

Komitmen teguh Malaysia terhadap infrastruktur digital mampan telah meyakinkan banyak syarikat multinasional yang diiktiraf di dunia untuk membuka atau mengembangkan kehadiran mereka di sini, seperti yang dibuktikan oleh pelaburan digital berjumlah RM144.7 bilion yang diluluskan dari 2021 hingga 2023.

-BERNAMA

Berita Harian X