Khamis, 2 Mei 2024 | 1:18pm
Anwar bersama Tengku Zafrul dan Nadella pada Forum Kepimpinan Nasional AI di Putrajaya hari ini - Gambar ihsan MITI
Anwar bersama Tengku Zafrul dan Nadella pada Forum Kepimpinan Nasional AI di Putrajaya hari ini - Gambar ihsan MITI

Pelaburan Microsoft percepat transformasi digital Malaysia - MITI

KUALA LUMPUR: Transformasi digital Malaysia akan dipercepatkan lagi dengan pengumuman pelaburan oleh Microsoft berjumlah RM10.5 bilion (AS$2.2 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) untuk tempoh empat tahun akan datang.

Pengumuman pelaburan terkini oleh Microsoft itu juga adalah komitmen berterusan 'Bersama Malaysia' syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sejak 2021, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan.

Ia berkata, pelaburan terkini itu juga bakal mentransformasikan Malaysia sebagai peneraju hab digital serantau dan menyasarkan melatih 200,000 rakyat Malaysia serta memperkasakan pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman negara ini menerusi teknologi canggih dan inovatif.

Katanya, pelaburan itu difasilitasi oleh salah satu agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama dengan agensi awam lain, meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.

Jelasnya, ia juga menyokong inisiatif nasional Malaysia untuk menerima teknologi baharu termasuk AI dan Generatif AI, yang boleh membuka kapasiti produktif sebanyak AS$113.4 bilion di Malaysia.

Pelaburan komited Microsoft itu dibuat oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella ketika Forum Kepimpinan Nasional AI di Putrajaya hari ini yang juga dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas pelaburan Microsoft itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkongsian strategik dengan Microsoft itu adalah apa yang dibayangkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP2030), yang mana ia bukan saja membantu menerima teknologi dengan pantas, tetapi juga memupuk inovasi serta keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

Beliau berkata, sementara keutamaan adalah untuk menarik pelaburan yang berkualiti, pihaknya juga sedang mencari rakan kongsi yang boleh membantu memperjuangkan komitmen negara untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat melalui teknologi pemboleh baharu termasuk AI supaya mereka juga boleh meraih manfaat ekonomi digital yang lebih rancak di Malaysia.

"Pelaburan komited RM10.5 bilion Microsoft adalah langkah dipercepatkan ke arah hasil positif itu. Komitmen teguh Malaysia terhadap infrastruktur digital yang utuh telah meyakinkan banyak syarikat multinasional yang diiktiraf di peringkat global untuk menubuhkan atau mengembangkan kehadiran mereka di sini, seperti yang dibuktikan oleh pelaburan digital bernilai RM144.7 bilion yang diluluskan dari 2021 hingga 2023.

"Ketika MITI secara aktif memupuk ekosistem digital memperkasakan yang akan memacu penyelesaian berasaskan teknologi merentasi pelbagai sektor, ia juga akan mengukuhkan cadangan nilai kami bahawa Malaysia adalah tempat permulaan global atau tempat untuk syarikat yang ingin menempa kejayaan operasi serantau dan global mereka," katanya.

Sementara itu, bagi pihak Microsoft pula, Nadella berkata, pihaknya komited untuk menyokong transformasi AI Malaysia dan memastikan ia memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

"Pelaburan kami dalam infrastruktur digital dan kemahiran akan membantu perniagaan, komuniti dan pemaju Malaysia menggunakan teknologi terkini untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi yang insklusif di seluruh negara," katanya.

MITI berkata, teknologi transformatif seperti pembelajaran mesin, pemprosesan bahasa semula jadi dan analitik jangkaan yang dikuasakan oleh perkhidmatan awan dan AI berpotensi untuk memperkasakan perniagaan dari semua saiz, termasuk syarikat permulaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) untuk membuka potensi mereka dengan memacu pembezaan dan daya saing pasaran.

Katanya, ia juga selari dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang menggalakkan inovasi dan keterangkuman untuk membantu melonjakkan Malaysia ke dalam 30 teratas ekonomi global menjelang 2033.

Melangkah ke depan, berpandukan NIMP 2030 yang bertujuan untuk membangunkan kerumitan ekonomi dan negara yang maju secara digital, MITI dan agensinya akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi, termasuk pelaburan digital yang membabitkan teknologi canggih untuk memupuk lebih ramai bakat tempatan, peluang perniagaan dan inovasi.

Berita Harian X