Selasa, 30 April 2024 | 6:46pm
CEO HDC, Hairol Ariffein Sahari.
CEO HDC, Hairol Ariffein Sahari.

Syarikat halal Malaysia lebih berdikari, mampu penuhi permintaan global

RIYADH: Pemain industri halal Malaysia dijangka menjadi lebih berdikari, mampan serta mampu menyampaikan produk dan perkhidmatan halal dengan nilai tambah yang lebih tinggi untuk memenuhi permintaan global termasuk menyumbang kepada rantaian bekalan ekonomi halal.

Ini disokong melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

Berucap pada Sesi Pemimpin Pemikiran semasa Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2024, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halal Development Corporation Bhd (HDC), Hairol Ariffein Sahari, berkata HIMP 2030 menampilkan visi Halal Malaysia yang menonjol, lebih keterlihatan dan global termasuk didorong oleh tujuh teras strategik dan 23 inisiatif.

"Selain daripada menangani jurang dalam ekonomi halal domestik, HIMP 2030 merupakan pelan hala tuju dan titik penghubung kritikal bagi ekosistem halal Malaysia untuk berhubung dengan ekosistem halal negara lain serta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)," katanya.

HIMP 2030, bertemakan 'Terkemuka, Terlihat dan Globalisasi Halal Malaysia', dipacu oleh tujuh teras strategik seperti meningkatkan dasar dan perundangan mesra halal; mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih meluas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional halal yang lebih besar bagi memenuhi keperluan global serta meningkatkan kualiti dan pembangunan infrastruktur bersepadu.

Ia juga merangkumi usaha memupuk kepimpinan pemikiran dan melahirkan lebih ramai peneraju halal tempatan termasuk memudahkan penyertaan bumiputera yang lebih kompetitif dalam industri halal.

Hairol Ariffein juga memberitahu populasi Islam global dianggarkan berjumlah 1.9 bilion dan saiz pasaran halal global diunjurkan akan mencapai AS$5 trilion menjelang 2030.

Oleh itu, beliau berkata Malaysia boleh menjadi gerbang bagi penembusan pasaran halal negara anggota OIC memandangkan negara ini telah kehadapan dalam ekosistem halal selama lebih lima dekad.

Antara sektor utama yang digalakkan dalam menghubungkan ekosistem halal ialah pembuatan dan perkhidmatan halal untuk produk makanan dan bukan makanan, logistik dan ramuan; perkhidmatan mesra Muslim dalam pelancongan, pelancongan perubatan dan runcit, pengiktirafan bersama dalam amalan terbaik halal serta rangkaian-rangkaian perniagaan halal.

"Pengantarabangsaan agenda halal adalah penting untuk mengembangkan landskap halal global dengan ketara serta bagi mewujudkan, memudahkan integrasi dan mengukuhkan perniagaan termasuk ikatan bilateral antara ekosistem halal negara-negara berkaitan.

"Malaysia sentiasa melihat kepada negara anggota OIC untuk sokongan serta rangsangan dalam pertukaran pengetahuan, pengalaman dan maklumat," katanya.

Oleh itu, penglibatan tiga pihak sebagai rakan strategik antara HDC-Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Syarikat Pembangunan Produk Halal Arab Saudi (HPDC) boleh membantu menyokong antara satu sama lain untuk peningkatan sosio-ekonomi dan kemajuan negara-negara OIC, katanya.

HDC, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), menawarkan perkhidmatan seperti nasihat perniagaan, program latihan pembangunan industri, sektoral, perusahaan dan profesional serta IsDB selain memenuhi peranannya sebagai bank pembangunan pelbagai hala (MDB). ) dalam menyediakan negara dengan jaminan pembiayaan membabitkan projek pembangunan dan komersial berskala mega dalam sektor teras penting halal.

Sementara itu, HPDC, dengan kepakarannya dalam pengurusan dana serta pengurusan portfolio pelaburan akan dapat menyokong aktiviti penjanaan dana termasuk perusahaan negara Islam, melalui pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam dan ke luar.

"Diharapkan perkongsian strategik ini akan terus maju, kekal dan berkembang dengan pelbagai cara bagi memberi manfaat kepada negara anggota OIC, serta membolehkan mereka meneroka dan meraih peluang yang banyak dalam ruang pasaran halal global," kata Hairol Ariffein.

HELF 2024 dianjurkan secara bersama oleh HDC, IsDB dan HPDC, sempena Forum Sektor Swasta (PSF) IsDB 2024 di Riyadh mulai 28 hingga 30 April ini.

Sesi panel itu turut menampilkan Pengarah IsDB dan Wakil Residen Hab Serantau Indonesia Datuk Amer Bukvich, CEO HPDC Fahad S. AlNuhait dan Profesor Ekonomi dan Kewangan Politik Timur Tengah dan Islam dari Universiti Durham, Mehmet Asutay.

-BERNAMA

Berita Harian X