Isnin, 29 April 2024 | 11:15am
Gambar fail. - NSTP / AHMAD UKASYAH
Gambar fail. - NSTP / AHMAD UKASYAH

Pengenalan Akaun Fleksibel bukan langkah ke belakang - Ahmad Zulqarnain

KUALA LUMPUR: Pengenalan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel kepada pencarum bukanlah seumpama satu langkah ke belakang dalam pengurusan dana persaraan akibat daripada tekanan dari pihak tertentu.

Sebaliknya, prinsip asas Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dalam menyusun semula akaun berkenaan adalah pendekatan seimbang dalam menyediakan keperluan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang pencarumnya, demikian mengikut Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn.

Malah Akaun Fleksibel itu adalah satu pilihan dalam memenuhi keperluan sebagai simpanan kecemasan pencarum yang boleh dikeluarkan untuk mendepani cabaran menjalani kehidupan sebelum bersara, dan jika ahli tidak memerlukannya, baki dalam itu boleh dipindahkan ke dalam Akaun 2 atau Akaun Sejahtera.

"Ini adalah sejajar dengan amalan terbaik umum, dari segi jangka panjang, kaedah ini menjaga keperluan tabungan persaraan mencukupi. Dari segi jangka sederhana, ia adalah pelaburan yang memberi pulangan dalam meningkatkan tabungan sebelum ahlinya bersara.

"Sementara itu, dari segi jangka pendek, ia juga boleh membantu ahlinya menangani keperluan kewangan, contohnya akibat daripada kecemasan atau bencana yang akan menjejaskan kehidupan harian. Jadi, ya, itulah prinsipnya," kata Ahmad Zulqarnain apabila ditanya mengenai perkara dalam satu taklimat pengarang media di ibu pejabatnya di Kwasa Damansara, baru-baru ini.

Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, Ahmad Zulqarnain Onn
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, Ahmad Zulqarnain Onn

Pada Khamis, KWSP mengumumkan struktur baharu akaun ahlinya yang menyaksikan perubahan pembahagian peratusan caruman serta pengenalan akaun ketiga atau Akaun Fleksibel iaitu 75 peratus ke dalam Akaun 1 atau Akaun Persaraan (naik daripada 70 peratus sebelum ini), 15 peratus ke dalam Akaun 2 atau Akaun Sejahtera (lebih rendah daripada 30 peratus sebelum ini) dan 10 peratus ke dalam Akaun 3 atau Akaun Fleksibel (alokasi baharu yang lebih fleksibel). Nisbah carumannya selepas ini menjadi 75:15:30 berbanding sebelumnya iaitu 70:30.

Jika dilihat dari sudut itu, jelas Ahmad Zulqarnain Onn lagi, Akaun 1 atau Akaun Persaraan tidak disentuh, malah nisbah sumbangan carumannya dinaikkan daripada 70 kepada 75.

"Jadi ia akan meningkatkan tahap simpanan asas (sebagai timbal balas kepada pengenalan Akaun Fleksibel). Dari segi ini, ia sebenarnya bertambah baik susulan peningkatan kadar sumbangan dari 70 ke 75.

"Sementara itu, apa yang kami akan cuba lakukan secara serentak dengan pengenalan Akaun Fleksibel ini adalah meningkatkan lagi literasi kewangan dalam kalangan ahli untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman bahawa pengeluaran dari akaun berkenaan hanya wajar dibuat jika benar-benar diperlukan sahaja," kata beliau.

Selain itu, katanya lagi, berdasar tinjauan gelagat pencarum, pihak menjangka tidak semua ahli akan mengeluarkan tabungan Akaun Fleksibel masing-masing.

"Secara keseluruhan diunjurkan RM54 bilion akan dipindahkan ke akaun fleksibel. Tidak semua ahli akan memilih mengeluarkannya. Daripada RM54 bilion itu, kami percaya hanya RM25 bilion (pada tahun pertama) akan dikeluarkan berdasarkan corak pengeluaran masa lalu," katanya.

Menyingkap semula, katanya, penstrukturan semula akaun KWSP adalah hasil daripada maklumbalas ahli melalui rundingan awam pada 2020 hingga 2021 serta libat urus bersama pihak berkepentingan.

"Beberapa maklum balas menarik telah diperoleh iaitu sejumlah 83 peratus mahukan autonomi melalui akaun tambahan yang bersifat fleksibel. Selain itu, majoriti besar juga iaitu 63 peratus bersetuju dengan kenaikan agihan caruman dalam akaun 1 jika fleksibiliti diberikan.

"Kami juga mengadakan libat urus dengan pelbagai kumpulan, iaitu kementerian dan agensi kerajaan; ahli parlimen; kesatuan pekerja; 'key opinion leaders' dan kumpulan media.

"Tiga maklum balas diterima iaitu pertamanya, ahli perlu diberi pilihan untuk mempunyai amaun permulaan dalam akaun fleksibel; keduanya, amaun yang bermakna perlu diberikan kepada ahli terutama mereka yang memiliki simpanan yang rendah dan yang ketiga adalah naratif serta komunikasi yang mudah difahami," kata beliau.

Selain itu juga, pengenalan Akaun Fleksibel tidak hanya dibuat berdasarkan tinjauan tetapi juga mengkaji pelbagai skim yang ditawarkan oleh dana persaraan di seluruh dunia.

Sementara itu, dari segi jaringan keselamatan sosial, pencarum KWSP ditawar, yang bukan mandatori, kemudahan I-Lindung iaitu ahli boleh menggunakan dana dalam Akaun 2 atau Akaun Sejahtera untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat.

Menerusi i-Lindung Fasa 2 juga ahli boleh membeli produk insurans dan menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat menerusi dalam aplikasi KWSP i-Akaun.

Sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023, lebih 102,301 ahli telah membeli sejumlah 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung, yang meliputi insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2 atau selepas Akaun Sejahtera.

Berita Harian X