Rabu, 24 April 2024 | 4:16pm
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan -NSTP/ASWADI ALIAS
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan -NSTP/ASWADI ALIAS

Amir Hamzah perjelas usaha kerajaan kepada pelabur di London

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Bersama Pelabur di London, United Kingdom (UK) dari 20 hingga 22 April 2024.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, menerusi pertemuan bersama kira-kira 70 pelabur dana kewangan dan ahli korporat di PNB House dan Asia House, Amir Hamzah menerangkan tindakan segera Kerajaan MADANI untuk merangsang pelaburan strategik dalam teknologi-teknologi penting.

Antaranya, ia berkata penubuhan Jawatankuasa Strategik Semikonduktor Nasional (NSSTF) bagi memudahkan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, universiti, dan pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk menempatkan industri semikonduktor Malaysia di barisan hadapan dan memastikan pertumbuhan berterusan industri elektronik & elektrik (E&E), khususnya sektor semikonduktor, sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.

Selain itu, katanya mengupayakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan serta menghapuskan halangan dan birokrasi dalam penyediaan dan aksesibiliti kepada tenaga boleh baharu terutamanya bagi industri teknologi baharu, termasuk pusat data.

"Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) untuk menyokong ekosistem yang lebih luas bagi kluster industri E&E yang terpusat berpusat di kawasan utara, terutamanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan di Pulau Pinang serta Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata [rospek pelaburan negara telah mencapai tahap yang luar biasa, dengan pelaburan yang diluluskan melonjak kepada RM329.5 bilion pada tahun 2023, menandakan pencapaian bersejarah bagi negara, berbanding RM268 bilion pada 2022.

"Ini terutamanya tertumpu dalam produk E&E dan sub-sektor maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 74 peratus projek pembuatan yang diluluskan antara tahun 2021 dan 2023 telah selesai atau dalam proses.

Selain itu, katanya nilai besar kerja pembinaan peringkat awal yang selesai pada tahun 2023 (RM31.5 bilion) dan 2022 (RM26.3 bilion) menunjukkan trend positif untuk peluang pelaburan masa depan.

"Daripada jumlah keseluruhan 5,101 projek pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023, sebanyak 81.2 peratus atau 4,143 projek adalah dalam sektor perkhidmatan, 883 projek dalam sektor pembuatan dan 75 projek dalam sektor utama," katanya.

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja Amir Hamzah bersempena dengan kehadiran beliau dalam Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) dari 17 hingga 19 April 2024.

Sebelum ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pelabur antarabangsa di New York dan Washington DC dengan tujuan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap tahap ekonomi Malaysia dan memperkukuhkan persepsi serta sentimen pelabur asing terhadap Malaysia.

Berita Harian X