Selasa, 23 April 2024 | 2:09pm
Steven Sim Chee Keong menyerah kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka, pada Isnin.
Steven Sim Chee Keong menyerah kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka, pada Isnin.

Pertimbang ambil graduan TVET capai keberkesanan gaji premium

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan pengambilan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedia ada di pasaran ketika ini dalam usaha mencapai keberkesanan penetapan gaji premium pada kadar RM4,000.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes berkata, beliau mengalu-alukan cadangan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji penetapan gaji premium itu sebagai usaha mengiktiraf mereka.

"Namun kerajaan perlu meneliti beberapa ketetapan sebelum membuat sebarang keputusan drastik. Kita kena melihat perkara ini secara mendalam kerana terdapat baik buruknya (cadangan ini).

"Dari segi kebaikannya, TVET yang sebelum ini dianggap sebagai pilihan kedua akan menjadi rebutan sebagai satu program atau laluan utama kepada golongan muda.

"Namun dari segi pelaksanaannya, langkah ini akan membebankan pemain industri, graduan dan juga institusi kerajaan. Ini kerana apabila industri ditetapkan untuk membayar gaji premium, maka harapan yang diletakkan majikan ke atas graduan adalah berdasarkan gaji yang dibayar.

"Jadi dalam konteks ini, peralatan di institusi-institusi latihan kerajaan perlu ditambahbaik dan penambahbaikan ini memerlukan kepakaran tenaga mahir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka dan majlis penyerahan Malaysia Book of Records kepada Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) Pertama bagi kereta elektrik bateri (BEV) di Malaysia.

Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengarah ADTEC Melaka, Dr Norhuda Salim.Autotronic Center of Excellence juga mencatat sejarah baharu dalam bidang TVET apabila dianugerahkan sebagai Akademi TVET pertama di Melaka dengan persijilan EV dengan kerjasama ADTEC.

Dalam pada itu, Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group menjelaskan kerjasama awam swasta (PPP) penting dalam memastikan visi untuk mencapai gaji premium RM4,000 dapat dicapai dalam masa terdekat.

Ini kerana katanya tanpa sokongan dari industri, pelaksanaan TVET tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan impak yang tinggi.Menurutnya, negara tidak mempunyai masa panjang untuk menghasilkan tenaga pakar.Justeru katanya, kerajaan perlu mengambil tenaga sedia ada atau graduan TVET dalam pasaran ketika ini untuk meningkatkan kemahiran.

"Oleh itu, graduan sedia ada menjadi tonggak yang dapat membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri," katanya.

Sri Ganes memberitahu, negara mungkin akan berdepan dengan dua cabaran utama untuk mencari bakat dalam sektor-sektor teknologi baharu.

"Sekiranya pelabur asing melabur di Malaysia, kita memerlukan bakat sedia ada yang bersesuaian dengan keperluan sektor berkaitan. Ini kerana kita tidak boleh mengambil masa panjang memandangkan mereka memerlukan 'readily available talents' untuk meningkatkan kemahiran.

"Jadi dalam konteks ini, kerjasama PPP penting kerana adalah sukar kedua-dua entiti ini bergerak secara 'standalone business'.

"Maka satu kerjasama perlu dengan pembiayaan dan kemahiran yang merangkumi pengurusan, penyenggaraan, infrastruktur, peralatan dan kemudahan yang diuruskan bersama sebagai satu pakej," jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai majlis tersebut, Sri Ganes berkata, pemilihan ADTEC adalah disebabkan lokasinya yang terletak di kawasan Taman Teknologi German di Melaka.

Menurutnya, Taman Teknologi German di Melaka diwujudkan untuk menarik pelaburan dari Jerman khususnya dalam bidang pengeluaran bateri.

"Jadi ini akan membawa kepada peningkatan permintaan terhadap tenaga buruh yang berkelayakan dalam EV dan TVET.

"Dengan pelaburan yang dijangka masuk, kesediaan bakat tempatan yang mahir dalam bidang EV dan TVET menjadi semakin penting bagi Melaka untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang berkaitan," katanya lagi.

Menurutnya, bagi memenuhi keperluan bakat dalam bidang EV, institutnya sedang mengembara ke seluruh Malaysia khususnya ke selatan untuk memenuhi keperluan bakat dalam bidang berkenaan.

Pada majlis sama, Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd turut menerima anugerah Malaysia Book Of Records apabila institut itu diiktiraf sebagai Pusat Latihan EV pertama di Malaysia.

Ini menandakan pengiktirafan rasmi bagi usaha mereka dalam menyokong perkembangan teknologi EV di Malaysia.

Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records adalah satu pencapaian yang besar bagi Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd kerana ia menunjukkan pengiktirafan rasmi terhadap usaha mereka dalam menyokong perkembangan teknologi EV di Malaysia.

Ini menandakan bahawa SG Academy telah melakukan usaha yang ketara dalam membangunkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang kenderaan elektrik, menyumbang kepada pertumbuhan industri EV di Malaysia.

Pengiktirafan ini juga menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong transformasi industri kenderaan tempatan ke arah teknologi yang lebih lestari dan bersih.

Dengan mendapat pengiktirafan itu, SG Academy dapat terus memimpin dalam penyediaan latihan berkaitan EV, menjadikan mereka destinasi utama bagi individu yang berminat untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini.

"Ini memberi peluang kepada lebih ramai individu untuk babitkan diri dalam sektor EV dan menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik di Malaysia," katanya.

Berita Harian X