Selasa, 23 April 2024 | 1:45pm
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Firma Malaysia raih potensi jualan RM28.65 juta di SEACare

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia yang menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bersempena dengan Southeast Asian Healthcare & Pharma Show (SEACare 2024) berjaya meraih potensi jualan berjumlah RM28.65 juta.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan hari ini, lapan pembeli antarabangsa dari Thailand, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE, Zambia dan Zimbabwe menyertai INSP dan dipadankan dengan 30 syarikat Malaysia dalam 95 pertemuan perniagaan yang telah diatur sebelumnya.

Antara produk Malaysia yang mendapat minat yang tinggi ialah bekalan perubatan yang penting seperti picagari, jarum, tiub pengumpulan darah dan tourniquet bebas lateks, katanya.

MATRADE berkata, kejayaan program itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama di rantau ini untuk industri penjagaan kesihatan.

"MATRADE komited untuk mengukuhkan eksport produk penjagaan kesihatan Malaysia dengan meningkatkan keupayaan pemain industri kita.

"Kerjasama strategik dengan SEACare menunjukkan manfaat yang dinikmati oleh perniagaan penjagaan kesihatan Malaysia dengan membantu mereka meningkatkan jualan antarabangsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Beliau berkata, MATRADE berharap untuk menerajui projek baharu yang bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan industri tempatan tetapi juga memudahkan pemain industri untuk mengembangkan operasi global mereka.

Pada suku pertama 2024, jumlah perdagangan peranti perubatan dan farmaseutikal Malaysia meningkat kepada RM14.08 bilion daripada RM12.4 bilion pada suku pertama 2023.

Eksport peranti perubatan dan farmaseutikal Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16 peratus kepada RM8.93 bilion pada suku pertama 2024 manakala import naik 10 peratus kepada RM5.15 bilion pada suku tahun tersebut.

SEACare 2024 diadakan pada 17 April 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara itu menyediakan platform kepada pemain penjagaan kesihatan tempatan untuk meningkatkan pengiktirafan jenama mereka dan mempromosikan produk dan perkhidmatan dengan berkesan, terutamanya ke pasaran Asia Tenggara.

-BERNAMA

Berita Harian X