Isnin, 22 April 2024 | 3:19pm
Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menandakan detik penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama syarikat berkenaan dan pemodal teroka.
Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menandakan detik penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama syarikat berkenaan dan pemodal teroka.

KL20: SC perkenal VC Golden Pass tarik modal teroka antarabangsa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan VC Golden Pass, bagi menyelaraskan proses pendaftaran syarikat modal teroka (VC) bagi membolehkan penubuhan VC antarabangsa yang layak di Malaysia.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata ia adalah sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan komprehensif suruhanjaya itu yang ingin mengalu-alukan VC antarabangsa berpengalaman yang ingin mewujudkan kehadiran kukuh di Malaysia untuk memenuhi keperluan domestik dan serantau.

"Di bawah bidang kuasa ini, SC memperkenalkan proses lorong hijau untuk mempercepatkan pendaftaran VC daripada enam minggu ketika ini kepada dus minggu, tertakluk pada keperluan yang ditetapkan di bawah rangka kerja Penilaian Skop Berfokus SC.

"Kami juga berbesar hati untuk mengumumkan penambahbaikan proses tapisan ke arah pengeluaran Pas Pekerjaan yang lebih pantas bagi memudahkan penempatan semula kakitangan bukan warga negara Malaysia.

"Bersama-sama dengan agensi lain, kami juga gembira untuk menghubungkan firma VC dengan komuniti tempatan, dan berpotensi mengenal pasti rakan kongsi dalam usaha mereka untuk memanfaatkan peluang di Malaysia dan serantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Awang Adek berkata, di Malaysia, pasaran swasta telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil, dengan banyak perkembangan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, terdapat lebih 130 syarikat berdaftar dan RM17.6 bil aset bawah pengurusan (AUM) membabitkan VC dan ekuiti swasta (PE) setakat 2023.

"Digabungkan dengan pengurus dana berlesen, AUM industri pengurusan dana Malaysia telah berkembang kepada hampir RM1 trilion pada akhir 2023.

"Pertumbuhan dalam pelaburan alternatif pula adalah sebanyak RM3.8 bilion setakat 2023, dilaburkan merentasi VC, PE, pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan rakan setara (P2P).

"Program seperti Dana Impak, Dana Perintis dan program "national fund-of-fund" yang bertujuan untuk menarik firma VC berpengalaman dan pelabur persendirian dalam kelas aset VC juga telah menyumbang kepada perkara ini," katanya.

Berita Harian X