Ahad, 21 April 2024 | 2:51pm
Penangguhan atau pembatalan rasionalisasi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara ini - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penangguhan atau pembatalan rasionalisasi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara ini - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Impak positif rasionalisasi subsidi bakal dirasai tahun depan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi meskipun memberi kesan kepada penggunaan agregat, namun impak positif program itu dijangka dirasai tahun depan dengan kedudukan fiskal negara diunjurkan lebih kukuh, demikian menurut penganalisis.

Justeru, perkembangan berkenaan dijangka mengubah sentimen pelabur yang akan lebih berkeyakinan terhadap pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini.

Pasukan penyelidik pasaran BIMB Securities Research dalam satu nota penyelidikan berkata, rakyat harus melihat rasionalisasi subsidi dari kaca mata kerajaan yang perlu memperbetulkan penyelewengan dalam ekonomi.

"Memberikan subsidi kepada barangan keperluan adalah negatif kepada ekonomi walaupun kita pengeluar bersih minyak kerana kerajaan perlu berdepan ketirisan hasil dan pembaziran.

"Dengan itu, kerajaan menyasar untuk melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi merangkumi barangan seperti petrol, diesel dan telur ayam, selepas melakukannya terhadap barangan seperti ayam (Oktober 2023) dan elektrik (Januari 2024).

"Kami bimbang seandainya kerajaan menangguh atau lebih buruk lagi membatalkan sepenuhnya pelaksanaannya, ini akan menjejaskan keyakinan pelabur," katanya.

Sehubungan itu, BIMB Securities Research menjangkakan usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan pada 2024 akan membuahkan hasil tahun depan.

Ia berkata, dengan jangkaan prospek yang lebih cerah 2025 berikutan kejelasan yang lebih baik mengenai hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan fiskal Malaysia yang jauh lebih mantap akan menjadi pemacu yang akan menggembirakan pelabur.

Katanya, defisit fiskal berkemungkinan berada dalam lingkungan kira-kira 3.0 peratus pada 2025 berikutan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi.

Malah jelasnya, gabungan pelbagai faktor juga akan memacu ringgit lebih tinggi, yang dijangka merapatkan jurang mata wang tempatan itu terhadap nilai saksamanya.

"Kami sentiasa mengekalkan nilai saksama ringgit pada RM4.20 hingga RM4.30 setiap dolar AS dalam jangka masa panjang.

"Risiko utama ialah perang besar-besaran di Asia Barat, peningkatan semula inflasi AS berterusan dan kesan lebih besar daripada jangkaan terhadap penggunaan agregat berikutan inisiatif rasionalisasi subsidi," katanya.

BIMB Securities Research berkata, keputusan tidak menentu Pilihan Raya Presiden AS juga boleh memberi kesan.

Mengulas sentimen terhadap pasaran tempatan bagi sepanjang 2024, pasukan penyelidik BIMB Securities Research itu menambah, sentimen sepanjang tahun ini akan kekal ditentukan oleh beberapa faktor utama, terutamanya laluan dasar AS.

Ia berkata, tempoh masa AS akan mula menormalkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) akan kekal sebagai topik hangat diperkatakan hingga ke separuh kedua tahun ini.

"Dengan inflasi AS yang kekal 'degil', mencecah 3.5 peratus pada Mac berbanding 3.2 peratus pada Februari dan 3.1 peratus Januari yang agak jauh berbanding sasaran bank pusat bank pusat negara itu sebanyak kira-kira 2 peratus, akan muncul sebagai halangan terbesar bagi pasaran ekuiti global.

"Ini juga bermakna dolar AS akan terus menguasai sehingga terdapat bukti jelas menunjukkan inflasi AS mulai menuru," katanya.

Berita Harian X