Ahad, 21 April 2024 | 2:42pm
Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong sektor berorientasikan eksport -NSTP/FAIZ ANUAR
Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong sektor berorientasikan eksport -NSTP/FAIZ ANUAR

Ekonomi suku pertama Malaysia cenderung berkembang 4.2 peratus

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kecenderungan meningkat ke arah 4.2 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2024.

Data KDNK dijadual dikeluarkan pada 17 Mei 2024.

Unjuran RHB Investment itu lebih tinggi daripada jangkaan 3.9 peratus oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Petunjuk utama komposit kami, RHB-LEI (MY), memperlihatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik (E&E), tenaga dan barangan logam," jelasnya dalam satu nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran KDNK Malaysia tahun ini pada 4.6 peratus memandangkan jangkaan pertumbuhan suku pertama lebih perlahan berbanding jangkaan tidak mungkin menjejaskan unjuran ekonomi 2024 yang optimistik.

Ini memandangkan momentum eksport dan pengeluaran perindustrian mula meningkat, kenaikan yang berpotensi dalam data makroekonomi utama bagi Mac dan kesan bermusim data Februari susulan hari bekerja yang lebih singkat.

"Kami terus mendapati keyakinan domestik semakin bertambah baik dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) lebih positif, import barangan modal dan barangan perantaraan yang teguh serta peningkatan keyakinan perniagaan dan pengguna," katanya.

Sementara itu, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd pula mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 3.9 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, pertumbuhan paling pesat dalam tempoh empat sukuan.

"Pertumbuhan secara relatifnya lebih baik daripada jangkaan walaupun berada di bawah 4.1 peratus tahun ke tahun seperti diunjur konsensus pasaran," tambahnya.

Berdasarkan momentum pertumbuhan yang bertambah baik dan jangkaan pemulihan permintaan luar, MIDF Amanah mengekalkan unjurannya iaitu KDNK Malaysia akan meningkat kepada 4.7 peratus tahun ini.

"Selain pertumbuhan mampan dari segi permintaan domestik, kami menjangka pertumbuhan KDNK lebih kukuh disokong aktiviti pembuatan global yang semakin baik dan permintaan kian meningkat dari China dan Amerika Syarikat (AS).

"Selain itu, pemulihan perdagangan E&E juga menyokong pemulihan perdagangan luar tahun ini," tambahnya.

Namun, cabang penyelidikan MIDF Amanah mengambil pendekatan berhati-hati mengenai perkembangan luar yang boleh mengekang pemulihan perdagangan luar.

"Ini termasuk risiko negatif seperti pertumbuhan lembap di China, peningkatan ketegangan geopolitik seterusnya di Asia Barat dan risiko permintaan akhir yang lemah daripada pasaran maju disebabkan kos pinjaman tinggi," menurutnya.

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan pemulihan eksport E&E, ketibaan pelancong lebih tinggi, daya tahan permintaan domestik disokong pertumbuhan pelaburan lebih kukuh serta permulaan kesan asas rendah, meningkatkan lagi pertumbuhan Malaysia pada suku akan datang.

"Kami mengekalkan unjuran 2024 kami pada 4.9 peratus bagi pertumbuhan KDNK dan 3.0 peratus untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR)," jelasnya menerusi penyelidikan perbendaharaan dan pasaran.

-BERNAMA

Berita Harian X