Ahad, 21 April 2024 | 2:33pm
Datuk Johan Mahmood Merican -NSTP/AZIAH AZMEE
Datuk Johan Mahmood Merican -NSTP/AZIAH AZMEE

MOF, industri logistik bincang subsidi bersasar diesel

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican mengadakan perbincangan bersama industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel pada Jumaat lalu.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik bagi cadangan program berkenaan.

"Perbincangan ini bagi mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik mengenai skop dan syarat bagi cadangan program ini, terutama bagi mendengar isu yang dihadapi serta langkah penambahbaikan," menurut MOF dalam catatan di laman sosial rasmi Kementerian Kewangan.

MOF menjelaskan, seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelak ketirisan dan penyeludupan yang berterusan.

"Namun, bagi mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat, harga diesel bersubsidi terus dinikmati pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan," tambah MOF.

Kementerian itu memaklumkan mekanisme rasionalisasi subsidi diesel akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

"Sebaik berjaya mendapat kelulusan di bawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, syarikat sektor pengangkutan darat (barangan) boleh mendapatkan Fleet Card daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi," jelas MOF.

Menurut MOF, kerajaan akan dapat menyalurkan hasil negara kepada rakyat yang benar-benar memerlukan antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan bantuan lain dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

-BERNAMA

Berita Harian X