Ahad, 21 April 2024 | 1:33pm
Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Syed Anwar (dua dari kanan) berkenan merasmikan Kompleks LakePoint Setia Alam Impian -NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Syed Anwar (dua dari kanan) berkenan merasmikan Kompleks LakePoint Setia Alam Impian -NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Kompleks LakePoint dijangka tarik 12,000 pengunjung sebulan

SHAH ALAM: Kompleks LakePoint yang dibangunkan oleh S P Setia Bhd dijangka menarik 10,000 hingga 12,000 pengunjung setiap bulan dari perbandaran Setia AlamImpian dan dari kawasan sekitar.

Pengerusi S P Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, berkata sejak membuka pintunya kepada orang ramai pada Ogos 2023, pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung sasaran di Shah Alam dan daerah-daerah berdekatan.

"Kompleks LakePoint bersedia untuk menjadi permata mahkota perbandaran pelan induk seluas 1,235 ekar kami di Setia AlamImpian di Shah Alam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang berjumlah RM8.2 billion.

"Ia terdiri daripada tujuh kawasan landskap bertema seni iaitu Seni Persembahan, SeniHalus, Seni Muzik, Seni Digital, Seni Sinematik, Seni Industri dan Seni Minimalis," katanya pada semasa Majlis Pelancaran Kompleks LakePoint di Setia AlamImpian, dekat sini, semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan kompleks itu diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Mengulas lanjut, Syed Anwar berkata perbandaran Setia AlamImpian akan mempunyai presint premium dengan rumah unit berkembar yang akan dilancarkan pada suku keempat 2024 dan rumah unit banglo yang akan dilancarkan menjelang 2025.

Beliau berkata, setelah siap sepenuhnya pada 2036, perbandaran ini akan mencecah hampir 80,000 penduduk yang akan menghuni 20,000 unit kediaman.

"Kompleks baharu ini terdiri daripada LakePoint Central (pusat runcit), LakePoint Club (rumah kelab) dan LakePoint Gallerie (galeri jualan dan pejabat), yang terletak bersebelahan dengan LakePoint Park (taman dan tasik 31 ekar) dengan landskap dan infrastruktur yang dipertingkatkan.

"Kami yakin kompleks ini akan mengukuhkan kedudukan Setia AlamImpian sebagai salah satu alamat berprestij di Lembah Klang," katanya.

Syed Anwar berkata, LakePoint Central merangkumi kawasan ruang runcit yang boleh disewa bersih seluas28,038 kaki persegi, dengan senarai penyewa termasuk JomPa Café, RAWi Authentic Fusion Cuisine, The Gorpis Kafe dan Frosted oleh Sheena, pusat kesihatan (DBC Physiotherapy), kedai runcit dan penyewa utama (Urban Marketplace), salun rambut dan kecantikan (Adanis), butik fesyen (RHR Xcluseev) dan galeri seni oleh Universiti Teknologi Mara (UITM Crystal Art Gallery).

"Kelab LakePoint menawarkan kemudahan rekreasi termasuk empat gelanggang badminton, gelanggang futsal, kolam renang infiniti bersaiz Olimpik, kolam renang, sauna, studio tarian, bilik permainan, gim yang menghadap ke LakePoint Park, dan dewan besar yang boleh memuatkan 1,000 orang," katanya.

Berita Harian X